fbpx

AI.5YA – Kembalikan drama sains fiksyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN antara Zizan Razak dan Mia Sara menjadi tarikan menerusi drama AI.5YA.

SELEPAS kejayaan drama adaptasi She Was Pretty versi Malaysia, platform penstriman Viu kini muncul dengan sebuah lagi karya hebat berjudul AI.5YA.

Drama sitkom arahan pelakon terkenal Datuk Afdlin Shauki itu mengetengahkan genre sains fiksyen dan kekeluargaan dalam penceritaan.

Afdlin mengakui mendapat inspirasi untuk menghasilkan sitkom tersebut sekitar tahun 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya banyak menonton YouTube dan antara yang banyak keluar dalam garis masa media sosial saya ialah cerita yang mengetengahkan teknologi AI sehingga terhasilnya robot.

“Semua itu buat saya teringin nak hidup sebegitu, jadi saya gunakan idea tersebut dan implementasi dalam naskhah ini. Saya cuba nak bayangkan sekiranya kita semua hidup dalam zaman robot,” katanya.

Pengarah filem Buli itu memberitahu meskipun sitkom tersebut bertemakan sains, dia tetap menerapkan elemen dramatik dan komedi di dalamnya.

“Jika anda menonton AI.5YA, penonton tidak akan terikat dengan satu tema sahaja.

“Pelbagai elemen saya selitkan yang boleh membuai perasaan penonton walaupun kisah utamanya tentang robot.

“Jika anda peminat filem-filem saya terdahulu seperti Buli dan Papadom, rasa sedih sehingga boleh membuatkan penonton menangis itu saya selitkan juga dalam AI.5YA,” tuturnya.

Berbicara tentang barisan pelakon yang membintangi AI.5YA, Afdlin menyifatkan Mia Sara sebagai calon yang terbaik untuk watak separa robot tersebut.

Sementara Zizan Razak yang menjayakan watak sebagai Jehan juga pilihan yang tepat.

“Saya pilih Zizan kerana dia tak pernah berlakon dalam sitkom sebegini. Tidak tunggu masa lama, saya terus melamarnya untuk pegang watak Jehan dan dia berjaya melunaskan tugas tersebut dengan cemerlang.

“Sementara Mia pula, karakter robot AI.5YA pula memang sesuai dengannya.

“Tidak terlalu fasih berbahasa Melayu dan semua itu saya nampak padanya.

“Sebenarnya bukan Mia sahaja saya cuba tawarkan watak ini tetapi sayangnya, mereka semua sibuk dengan penggambaran lain dan akhirnya menjadi rezeki anak saya,” jelasnya.

Berkongsi mengenai watak lakonannya, Mia atau nama penuhnya Mia Sara Shauki, 22, memberitahu watak AI.5YA yang merupakan gadis robot mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

AFDLIN SHAUKI (empat dari kiri) bersama barisan karyawan dan pelakon yang terbabit dalam drama bersiri Viu, AI.5ya.

Ujarnya, antara cabaran yang dilaluinya sepanjang menjalani penggambaran drama ini ialah kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.

“Mencabar sebenarnya membawakan watak ini kerana setiap hari kami menerima skrip yang baru.

“Selain itu, saya juga tidak begitu fasih berbahasa Melayu, itulah antara cabaran yang saya lalui.

“Saya cuba untuk keluar dari zon selesa dan belajar sesuatu yang baru,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Kami Histeria itu, dia turut menjadikan filem seperti Ex Machina sebagai rujukannya untuk watak robot.

“Ya, saya ada menonton filem sains fiksyen dan kisah robotik untuk belajar menjiwai watak sebagai robot

“Namun, disebabkan drama ini juga ada elemen komedi dan kekeluargaan, saya belajar wujudkan sendiri penjiwaan tersebut tanpa dipengaruhi oleh mana-mana watak rujukan lain,” katanya lagi.

Dia turut melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon senior seperti Zizan, Ozlynn Wati dan Farahdhiya.

AI.5YA mengisahkan pemuda bernama Jehan yang mengendalikan sebuah platform saluran komedi online. Dia kehilangan pembantunya kerana aksi prank melampaui batas.

Sebagai ganti, Datuk Soffar lakonan Afdlin iaitu pemberi dana kepada Jehan memberikan sebuah robot android serba boleh bagi membantu kerja-kerja penggambaran.

Walau bagaimanapun, berlaku kekeliruan sehingga mengakibatkan Jehan menerima AI.5YA, sebuah robot peneman.

Pelbagai perkara lucu berlaku selepas video-video Jehan bersama AI.5YA menjadi viral dalam media sosial selain terpaksa merahsiakan identiti sebenar robot tersebut.
Drama yang bersiaran setiap hari Khamis itu mula ditayangkan menerusi platform Viu sejak 18 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI