fbpx

Orang muda makin hilang semangat patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semangat cintakan negara perlu dipupuk sejak usia muda. - Gambar hiasan
NOOR HASLIZA NUSI,
WAKIL KOSMO! PULAU PINANG

MERDEKA. Laungan keramat kemer­de­kaan itu kini dikatakan semakin jauh buat golongan ge­nerasi muda apabila mereka dilihat tidak lagi menunjukkan sema­ngat patriotik sempena Bulan Kebangsaan pada setiap 31 Ogos.

Ini kerana, kibaran Jalur Gemilang pada motosikal mahupun kenderaan yang dinaiki mereka kini jarang sekali atau sudah tidak lagi kelihatan di atas jalan raya. Jika ada pun, ha­nya boleh dikira dengan jari.

Siapa yang harus dipersalahkan jika diri sendiri tidak menjiwai semangat patriotisme dan menjengah kepayahan serta pe­ngorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu.

Ketika ini, anak muda dilihat lebih mengutamakan kerjaya, wang sebagai pelengkap dan sumber saraan hidup berban­ding memikirkan sejenak erti sebuah kemerdekaan.

Alasan tiada masa untuk memikirkan perkara lain bukanlah satu titik penyelesaian untuk kita tidak mengibarkan cukup hanya satu Jalur Gemilang bagi setiap individu.

Tidak kiralah apa kerjaya se­kali pun, sama ada penghantar makanan, kurier, peniaga jalanan sehinggalah yang menjawat sebagai eksekutif, mereka tetap perlu menjiwai Bulan Kebangsaan yang disambut hanya setahun sekali.

Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azmi Arifin berkata, kesedaran terhadap erti sebuah kemerdekaan dalam kalangan anak muda terutama remaja kini semakin dilupakan dan hanya dipelajari dalam subjek sejarah di sekolah sahaja.

Menurutnya, kira-kira 80 pe­ra­tus anak muda kini dikatakan tidak lagi mempeduli akan sam­butan Bulan Kemerdekaan berbanding hanya 20 peratus sahaja yang masih kekal mengha­yati serta menanamkan sema­ngat patriotisme dalam diri.

“Banyak sebab perkara ini berlaku ketika ini jika hendak dibandingkan dengan beberapa tahun lalu. Salah satunya adalah penghayatan tentang kemer­dekaan yang semakin berku­rangan.

“Setiap kali negara menyambut Kemerdekaan pada 31 Ogos, barulah semua pihak termasuk agensi-agensi terlibat hendak mencari solusi dan berfikir tentang cara sambutan tersebut.

“Tiada satu pun eleman yang ditanam setiap masa, konsis­ten dan dikekalkan mengenai kepentingan sejarah serta kemerdekaan negara. Jika diamati, remaja hari ini jarang sekali dan sudah tidak berminat dengan bahan pembacaan buku teks. Mereka lebih tertumpu kepada perkara lain di media sosial,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Jelasnya, pihak berwajib seharusnya memainkan peranan penting dalam usaha mengembalikan semangat kemerdekan dalam kalangan anak muda sekali gus mencari jalan untuk menaik­kan semangat hari bersejarah.

“Kita sepatutnya mencari me­reka dan bukannya mereka yang mencari kita. Selain itu, keadaan semasa juga menjadi antara punca utama kurang penghayatan tentang kemerdekaan.

“Isu politik, kenaikan harga barangan keperluan dan kos sara hidup membuatkan orang muda kini tidak boleh berfikir di luar konteks ini. Tumpuan tidak dapat diberikan memandangkan mereka lebih mengutamakan ke­langsungan hidup.

“Pada masa ini sangat kurang rancangan bagi menaikkan semangat patriotik. Tidak hanya itu, penganjuran program ber­kisar kemerdekaan juga dilihat semakin hambar dan kelam pada tahun ini,” jelasnya lagi.

Tidak hanya bergantung pada kerajaan, tugas utama adalah rakyat sendiri apabila mereka perlu semai semangat cintakan tanah air dan patriotisme dalam kalangan keluarga terutama anak muda supaya kita dapat mengekalkan kemerdekaan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI