fbpx

Peniaga tamak tak akan turunkan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNA perlu bijak memilih kedai makan yang menawarkan harga berpatutan. - Gambar hiasan

Harga ayam sudah turun, tetapi malangnya harga jualan makanan berasaskan ayam seperti nasi ayam atau nasi kukus ayam yang telah dinaikkan sebelum ini nampaknya belum turun-turun lagi.

Semasa berlaku kenaikan harga bahan mentah seperti ayam sebelum ini, ramai peniaga terpaksa menaikkan harga jualan bagi menampung peningkatan kos itu.

Maka, ramai-ramai pakat menaikkan poster tulisan tangan memaklumkan mereka terpaksa berbuat demikian ekoran kenaikan kos bahan mentah.

Ketika itu ramai pengguna faham situasi yang berlaku kerana mereka tahu harga jualan ayam yang begitu tinggi sehingga melebihi RM10 dan ada juga RM12 sekilogram.

Mereka tidak marah atau merugut kerana situasi berkenaan mungkin bersifat sementara sahaja sehingga harga barang kembali rendah dan bekalan stabil semula.

Tetapi semua itu andaian semata-mata, sebahagian peniaga yang tamak tidak akan menurunkan harga. Sekali harga makanan naik, sukar untuk diturunkan semula.

Jika harga bahan mentah naik hari ini, keesokan harinya juga mereka akan menaikkan harga dan dijadikan modal setiap hari untuk menyalahkan pihak lain.

Bagaimanapun, apabila harga bahan mentah turun, ada peniaga yang buat-buat tak tahu pula, poster yang dinaikkan pun masih terpampang.

Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara rawak baru-baru ini mendapati, harga makanan di restoran dan kedai makan di seluruh negara masih lagi tinggi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, tidak ramai peniaga makanan mengambil inisiatif menurunkan semula harga jualan walaupun isu kenaikan bahan mentah kini sudah semakin reda.

Katanya, harga ayam sudah turun antara RM6.40 dan RM7 sekilogram, tetapi harga sepinggan nasi ayam masih ada mencecah RM12.

Sebelum ini, mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di Semenanjung dilaporkan mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos ini memandangkan bekalannya semakin stabil hari demi hari.

Namun kelmarin, kerajaan melalui Kabinet telah bersetuju penetapan harga siling ayam standard diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram, sekali gus menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran.

Maka, tiada lagi alasan peniaga makanan untuk tidak menurunkan harga jualan. Jika tidak boleh turun sampai RM2, cukup sekadar RM1.

Jangan fikir tembolok diri sendiri sahaja, bebanan pengguna juga perlu diambil kira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI