PADANG BESAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis berjaya mematahkan cubaan sindiket untuk menyeludup 3,245 liter petrol RON95 dan diesel bersubsidi ke Thailand selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Melayu, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Mohamad Amir Abdullah berkata, serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu adalah susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu.
“Rampasan melibatkan 2,395 liter petrol RON95 dan 850 liter diesel dianggarkan bernilai RM6,736.
“Kita turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran asing dengan tangki yang telah diubah suai dipercayai untuk melakukan kegiatan penyeludupan bahan kawalan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya percaya stor berkenaan berpenghuni semasa serbuan dilakukan dan suspek sempat meloloskan diri.
“Premis itu juga dipercayai telah beroperasi sejak April lalu dan suspek dikenalpasti masih menggunakan modus operandi sama bagi menggelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi digunakan sama dengan beberapa sindiket penyeludupan sebelum ini yang mana terdapat warga tempatan akan mengambil minyak itu di stesen-stesen minyak berhampiran dan mengumpulkannya di stor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE