ISKANDAR PUTERI – Seramai 1,188 anak yatim yang kematian ibu bapa disebabkan wabak Covid-19 dibantu kerajaan Negeri menerusi program Anak Johor Prihatin yang dilaksanakan sejak awal tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT),Nurul Naqiah Fadzil berkata, sehingga kini sejumlah RM1.5 juta sudah dibelanjakan untuk kebajikan anak angkat itu.
Katanya, inisiatif di bawah Bantuan Kasih Bangsa Johor bagi menyantuni anak-anak yatim ini dalam memastikan hal kebajikan, pendidikan dan kesihatan emosi dijaga dan dipelihara sehingga berusia 21 tahun.
“Program ini adalah komitmen dan jaminan berterusan serta jangka panjang dalam memastikan hal kebajikan, pendidikan selain kesihatan emosi anak-anak ini dijaga sehingga mereka berusia 21 tahun.
“Kesemua anak angkat ini diberikan bantuan simpanan pendidikan, perlindungan insurans berharga RM200,000 setahun selain menerima wang tunai RM1,200 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legoland, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 91 anak yatim dari sekitar daerah ini diraikan untuk bersuka ria di Legoland sebagai sokongan moral buat anak angkat Yang tak bernasib baik itu.
Katanya, pihaknya akan bekerja sama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pihak sekolah bagi mengesan pelajar mengalami situasi yang sama untuk diberikan bantuan ini.
Tambahnya, pihak turut menghebahkan bantuan di bawah program tersebut menerusi media sosial agar lebih ramai mendapat manfaat daripadanya.
“Permohonan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 bagi menyertai inisiatif Anak Johor Prihatin itu juga masih terbuka.
“Kita percaya jumlah penyertaan ini akan terus meningkat. Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menambah peruntukan sekiranya bilangan permohonan meningkat dalam usaha membimbing anak-anak ini dari aspek bebanan emosi yang dipikul,” katanya. – KOSMO! ONLINE