PETALING JAYA – Semua sungai di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan paras air yang normal berbanding semalam, air meningkat melebihi paras amaran berikutan hujan lebat berterusan sejak petang.
Menerusi laman web info banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 2.20 petang, hari ini, Sungai Gombak di Jalan Tun Razak merekodkan bacaan 28.45 meter (m) kurang daripada paras normal iaitu 29 m.
Diikuti dengan Sungai Gombak di Jalan Tun Razak merekodkan bacaan 25.77 m yang juga berada di paras normal 25 m begitu juga dengan paras air sungai yang lain di Kuala Lumpur.
Semalam, Kosmo! melaporkan, pada jam 11.15 malam, dua sungai di Kuala Lumpur melebihi paras amaran dan waspada berikutan hujan lebat berterusan sejak petang tadi.
Sungai Gombak di Jalan Tun Razak merekodkan bacaan 30.59 m melebihi paras amaran berbanding normal iaitu 29 m manakala, Sungai Klang di Jambatan Tun Perak pula mencatatkan bacaan 28.05 m melebihi paras waspada.
Dalam pada itu, JPS juga melaporkan, tiada amaran atau ramalan banjir terkini dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE