PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) yakin pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat diatur dalam masa terdekat.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tarikh mengenai pertemuan itu belum dimuktamadkan dan ia bergantung kepada kesesuaian Perdana Menteri.
“Belum ada tarikh lagi. Tidak lama lagi saya rasakan jumpa dalam waktu terdekat, tapi tidak pasti bila dan bergantung kepada tarikh dan masa yang bersesuaian daripada Perdana Menteri.
“Akan jumpa dan tidak tahu lagi apa yang akan dibincangkan, tengok kepada keadaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Mock Cheque Sumbangan Anugerah Kecemerlangan Pelajar UKM (Alumni UKM) di sini hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Bendahari PN adalah salah seorang daripada empat wakil PN yang dilantik untuk bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan kerusi Timbalan Perdana Menteri.
Mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa gabungan antara pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut kemudian.
“Tidak ada komen lagi tapi kita nak dengar lanjut apa yang dimaksudkan oleh Muhyiddin dan selepas itu, kita akan bincang tengok macam mana,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN pada Sabtu lalu mahu semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang membuka semula pintu rundingan untuk melawan BN pada PRU-15 ini. – KOSMO! ONLINE