fbpx

16 PATI dicekup tidak sempat keluar dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA 16 PATI yang dicekup di Jalan Pengerang, Kota Tinggi, Johor ketika sedang menunggu bot untuk keluar dari negara ini.

KOTA TINGGI – Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warga Indonesia dan tiga tekong darat diberkas susulan serbuan Ops Pintas yang dijalankan di Jalan Pengerang di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan pada pukul 12.30 pagi itu, kesemua mereka ditahan terdiri daripada lelaki yang berusia antara 21 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejayaan menumpaskan aktiviti penyeludupan itu terbongkar hasil tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai warganegara sama.

“Polis mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dipandu suspek yang disyaki sebagai tekong darat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil soal siasat, lelaki berkenaan mengaku terlibat dalam penyeludupan sebelum menunjukkan terdapat 16 PATI sedang menunggu bot di kawasan Jalan Pengerang untuk keluar dari negara ini,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Susulan itu, pada hari yang sama pada pukul 6 pagi, pihak polis telah berjaya menahan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan kesemua migran tersebut.

Jelasnya, siasatan lanjut ke atas kesemua PATI membawa kepada penahan seorang wanita warga tempatan di kawasan Kulai yang disyaki bertindak sebagai ‘penjaga rumah penampungan’ dengan menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran yang ditangkap.

“Ekoran itu kesemua tekong darat dan migran telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI