fbpx

Mahkamah: Saksi akui rakam video Bella sebagai bukti penderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di mahkamah hari ini

KUALA LUMPUR – Rakan kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hari ini mengakui bahawa video yang dirakam semasa remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella berada di sebuah kondominium pada tahun lalu, untuk diberikan kepada seorang individu yang dikenali ‘Syed Azmi’.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, yang merupakan saksi pendakwaan pertama itu bersetuju bahawa tujuan dia mengambil video tersebut untuk meyakinkan ‘Syed Azmi’ terdapat penderaan terhadap Bella.

Nurul Hafidzah: Setuju dengan saya rakaman video yang puan ambil semata-mata nak bagi pada Syed Azmi?

Zurianty : Pada asalnya ya.

Nurul Hafidzah: Saya cadangkan sebelum puan ada beritahu Syed Azmi kata ‘you ada bukti ke’ dan sebab itu puan ambil video

Zurianty : Ya

Dalam prosiding hari ini, Zurianty dipanggil semula ke mahkamah hari ini bagi memberi keterangan dalam pemeriksaan semula dan pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Terdahulu, rakaman video Bella ditemui di sebuah kondominium disiarkan di mahkamah hari ini dan Zurianty yang berada di kandang saksi yang kelihatan sebak sewaktu video itu
ditayangkan.

Dalam pada itu, Zurianty bersetuju dengan dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah rakaman video itu di ambil di kondominium (Wangsa Maju) dan bukan di Rumah Bonda (Setapak).

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, saksi itu mengetahui dua video berdurasi enam minit dan 41 saat telah digunakan untuk kes ini

Zurianty itu turut kemudian membuat pengecaman terhadap sebuah telefon bimbit warna merah yang digunakan oleh saksi untuk merakam video tersebut.

Ketika ditanya pendakwaan bagaimana saksi yang juga mengadu dalam kes ini boleh mengecam telefon bimbit itu miliknya. Zurianty menjawab ‘Ada gambar wallpaper saya dan suami’.

Pada prosiding sebelum ini Zurianty dalam keterangannya pada April lalu, mengakui bahawa beliau individu yang merakam video Bella yang memaparkan kecederaan pada badan remaja itu ketika berjumpanya di sebuah kondominium pada Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau menafikan rakaman video itu yang diambilnya di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, telah dibocorkan atau disebarkan di media sosial untuk mendapat perhatian umum.

Sementara ketika ditanya mengenai tindakan  saksi itu, menghantar rakaman video itu kepada individu lain selain ‘Syed Azmi’, wanita itu mengatakan tujuannya kerana ketika itu dia mengalami trauma semasa menemui Bella di kondominum tersebut.

“Saya kemudian menghubungi kawan-kawan lain untuk mendapatkan sokongan emosi selain memberitahu apa yang patut dilakukan kerana ketika itu saya dalam keadaan ‘blank’ (kosong) tapi saya perlu bertindak untuk membantu siasatan”, katanya.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI