fbpx

Red Bull dominasi GP Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Max Verstappen berjaya menjuarai GP Belgium sebentar tadi.

STAVELOT, Belgium – Meskipun memulakan saingan di petak ke-14 ia tidak mendatangkan masalah buat Max Verstappen selepas pemandu Red Bull itu melakukan kejutan menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Belgium sebentar tadi.

Verstappen yang dikenakan penalti akibat pertukar enjin memastikan tindakan pasukannya itu tepat apabila mendominasi perlumbaan di Litar Spa-Francorchamps sekali gus mempertahankan kemenangan yang diraih pada musim lalu.

Lebih manis, pelumba kelahiran Belgium tersebut meraikan trofi kemenangan tersebut bersama rakan sepasukannya, Sergio Perez selepas berjaya menamatkan saingan tempat kedua. Pasukan Ferrari, Carlos Sainz yang memulakan saingan di petak utama terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Red Bull apabila mengakhiri saingan tempat ketiga.

“Bagi saya ia satu perlumbaan yang menyeronokkan kerana pada awal saingan saya cuba mengelak daripada berdepan masalah. Selepas beberapa insiden kemalangan berlaku dan kereta keselamatan mengambil alih perlumbaan ia memberi peluang kepada saya untuk kejar kelompok hadapan.

“Ia adalah hujung minggu yang terbaik buat pasukan dan terima kasih buat semua yang bekerja keras pada perlumbaan ini,” katanya.

Malang menimpa juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas jentera Mercedes yang dipacunya itu mengalami kerosakan sejurus terlibat dalam pelanggaran bersama Fernando Alonso.

Hasil keputusan tersebut, Verstappen mengukuhkan penguasaan dalam kedudukan keseluruhan pelumba F1 selepas memenangi sembilan daripada 14 perlumbaan sekali gus semakin hampir untuk mempertahankan gelaran dunia F1 selepas mengumpul 284 mata setakat ini.

Perez kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 191 mata manakala pencabar dari Ferrari, Charles Leclerc jatuh di tangga ketiga dengan 186 mata selepas sekadar menamatkan saingan tempat keenam di Belgium . -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN