fbpx

32 maut, 159 cedera dalam pertempuran di Tripoli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEJUANG yang setia kepada GNU dirakam di sebatang jalan di ibu negara Libya, Tripoli kelmarin. -AFP

TRIPOLI – Sekurang-kurangnya 32 orang maut manakala 159 lagi cedera dalam pertempuran ganas antara kumpulan-kumpulan militia Libya yang bertelagah di seluruh ibu kota negara itu, Tripoli, lapor stesen penyiaran CNN semalam. 

Pertempuran sengit tercetus di Tripoli semalaman apabila puak-puak yang bertelagah berbalas tembakan dan diiringi oleh beberapa letupan kuat bergema di seluruh bandar.

Gambar dan video yang tular di media sosial memaparkan situasi pertempuran dengan berpuluh-puluh bangunan termasuk kediaman musnah, manakala beberapa buah kereta dirosakkan dan dibakar.

Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di laman Facebook rasminya berkata, pertempuran itu dicetuskan oleh kumpulan tentera yang menembak secara rambang ke arah konvoi yang melalui Jalan Zawia, manakala kumpulan bersenjata berkumpul di pintu ke-27 di barat Tripoli dan Pintu Jebs di selatan Tripoli.

Libya berpecah antara puak yang bertempur sejak 2014, disusuli dengan pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 dalam menentang bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi.

Perdana Menteri interim negara itu, Abdulhamid Dbeibeh merupakan ketua GNU yang berpangkalan di Tripoli di bahagian barat Libya. 

Dalam masa sama, bangunan Parlimen yang terletak di Tobruk, bahagian timur negara itu adalah kerusi kerajaan saingan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Fathi Bashagha.

Bashagha cuba memasuki dan mengambil alih Tripoli kerana beliau mendakwa GNU adalah tidak sah dan harus berundur. 

GNU sebaliknya membantah dan mendakwa bahawa kuasa harus diserahkan secara aman melalui pilihan raya dan bukan dengan paksaan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI