fbpx

Mula-mula mengusik, akhirnya ‘dijangkiti’ sindrom latah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sindrom melatah tidak mempunyai ubat, malah akan berlaku sepanjang hayat. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Gara-gara se­ring mengusik ibu saudara yang melatah, seorang wanita akhir­nya turut ‘dijangkiti’ sindrom melatah.

Mawariah Ali, 42, memberitahu, dia tidak sangka tindakan­nya yang kerap mengusik ibu saudaranya menyebabkan sindrom melatah itu telah ‘berjangkit’ kepada dirinya yang kini sudah menjadi orang yang melatah dan perbuatan itu pula tidak boleh dihentikan.

“Dahulu, saya bukan individu yang melatah, namun akibat se­ring mengusik ibu saudara, menyebabkan saya sendiri yang melatah dan penatnya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Kadangkala kawan atau saudara-mara yang tahu saya melatah ini memang suka menyakat, saya sampai tidak sedar apa yang dilakukan. Ada kalanya saya mengajuk percakapan, berjoget dan ada sampai bersilat pun ada walaupun tidak tahu bersilat.

“Pernah juga saya tumbuk suami ketika tidur kerana terbawa-bawa usikan saudara-mara, mujur suami tengah tidur dan berada dalam keadaan tidak sedar, cepat-cepat saya minta maaf dekat suami,” kata suri rumah yang berasal dari Melaka.

Sementara itu, Ahmad Azmi, 23, berkata, perbuatan melatah yang dialaminya tidak terlalu serius dan hanya sekadar mengajuk percakapan orang lain.

“Ia berlaku sekitar beberapa tahun dahulu, saya sendiri tidak menyangka pada usia muda ini saya boleh melatah.

“Rakan-rakan juga sering me­ngusik dan saya menjadi tempat untuk melepaskan stres mereka dengan telatah saya.

“Bagaimanapun, mereka memahami dan tidaklah terlalu berlebih-lebihan ketika me­nyakat saya. Mereka menganggap saya sebagai ‘penyeri’ dalam sesuatu perjumpaan kerana dapat menghiburkan ramai orang termasuk diri saya sendiri.

“Mereka ini merupakan teman rapat saya yang dikenali sejak kecil dan saya langsung tidak me­nyimpan dendam atau marah dengan tindakan mereka. Apabila saya dah ‘tersandar’ akibat penat, mereka tidak lagi me­ngusik,” katanya yang bekerja sebagai tukang jahit.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori yang ingin dikenali sebagai Kamal, 35, yang turut melatah berkata, tugasnya sebagai pemandu lori membuatkan dia lebih berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Saya berjaya mengawal melatah saya ketika memandu. Pada awal pekerjaan sekitar lapan tahun lalu, saya memang sukar menga­wal tabiat ini sehinggakan apabila ada pemandu lain membunyikan hon, saya tanpa semena-mena menekan hon juga.

“Mujur sepanjang bekerja ini saya tidak melatah dan berjaya mengawalnya.

“Apabila berehat bersama rakan, mulalah ada yang akan menyakat sebagai penghilang penat bekerja,” kata bapa dua anak yang berasal dari Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI