KEMAMAN – Seorang pemancing umpama mati hidup semula apabila terapung lebih 15 jam di laut selepas bot gentian kaca yang dinaikinya karam ketika keluar memancing pada Rabu lalu.
Adnan Mamat, 54, bagaimapun menarik nafas lega apabila dia diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui lokasi berkenaan pada pukul 8.30 pagi keesokan harinya.
Menceritakan semula kejadian itu, Adnan berkata, bot yang dinaikinya dimasuki air kerana kurang stabil selepas tali sauh tiba-tiba terbelit pada kipas enjin sewaktu mahu melabuhkan sauh.
“Saya turun ke laut untuk memancing melalui jeti Kuala Kerteh di sini pada pukul 5 petang (Rabu lalu). Tali sauh tiba-tiba terbelit menyebabkan bot terumbang-ambing dan dimasuki air.
“Kejadian berlaku terlalu pantas, bot saya tenggelam dalam sekelip mata. Mujur saya sempat mencapai jaket keselamatan untuk dipakai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Telaga Papan, Kertih di sini semalam.
Adnan yang juga seorang jurukimpal berkata, dia cuba mendapatkan bantuan daripada bot nelayan lain dengan meniup wisel dan melambai menggunakan jaket keselamatan, namun tidak mendapat apa-apa respons berikutan suasana gelap dan laut yang bergelora.
Bapa kepada lima anak itu memberitahu, dia terapung sehingga dihanyutkan kira-kira 20 kilometer ke perairan Paka dekat sini selama 15 jam.
“Sepanjang malam, saya hanya berdoa agar Allah permudahkan urusan. Pada waktu itu, saya hanya teringatkan isteri dan anak-anak yang sudah pasti menunggu kepulangan saya,” katanya.
Adnan memberitahu, dia bernasib baik kerana diselamatkan seorang nelayan yang kebetulan ternampak dia terapung sebelum menghulurkan bantuan.
Disebabkan kejadian itu, paha kanan dan badan Adnan melecur akibat terkena petrol yang tumpah sewaktu bot tersebut terbalik.
“Walaupun mengalami kerugian hampir RM20,000, tetapi saya bersyukur kerana Allah masih memanjangkan usia.
“Apapun saya menganggap kejadian (bot karam) ini sebahagian daripada asam garam sebagai anak laut.
“Saya tidak akan serik untuk memancing lagi pada masa akan datang,” katanya.