BERPERWATAKAN lemah lembut dan manja, keperibadian pemilik nama Nur Izzara Othman ini begitu disenangi oleh keluarga dan individu di sekelilingnya.
Di sebalik imej yang ditonjolkan itu, gadis ini sebenarnya merupakan seorang yang bijak, berwawasan dan berpandangan jauh.
Sejak di bangku sekolah, gadis kelahiran Padang Besar, Perlis ini sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Bukan itu sahaja, dia juga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus melayakkan dirinya menerima pemberian istimewa diraja Perlis iaitu wang tunai sebanyak RM300.
Kejayaan yang dicapainya itu membuatkan anak bongsu daripada lima adik-beradik ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar junior di sekolahnya.
Dia mendapat perhatian warga sekolah dan dipanggil untuk memberi ceramah kepada pelajar SPM sesi berikutnya bagi meniup semangat mereka.
Kini, gadis manis ini menuntut di menara gading dan merupakan pelajar jurusan Sains dengan kepujian dalam bidang Genetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bercita-cita untuk menjadi saintis dan jurutera.
“Saya gembira dan bersyukur kerana berjaya mendapat tempat dalam jurusan diidamkan biarpun ramai orang mengatakan jurusan ini susah dan perlukan kerajinan luar biasa. Saya diberitahu, ramai berhenti di pertengahan jalan.
“Alhamdulillah, saya mampu mengharunginya. Harapan saya dengan mengambil jurusan ini, dapat membantu penghidap penyakit kronik dengan pilihan rawatan yang diambil dalam konteks berkaitan genetik pada masa depan.
“Saya lihat bidang ini banyak menyelamatkan nyawa kerana penyakit kronik itu dapat dicegah di peringkat awal menerusi bidang perawatan di peringkat genetik.
“Bidang ini tidak berapa terdedah di negara kita sebenarnya.
“Jadi, saya rasa mungkin generasi saya atau mungkin saya sendiri akan menjadi pemangkin kepada lonjakan kejayaan dalam bidang ini satu hari nanti,” katanya penuh bersemangat.
Mengulas lanjut, menurut Nur Izzara, dia begitu tertarik dengan perbahasan Senator Ras Adiba Radzi di Dewan Negara baru-baru ini yang mengulangi tentang keperluan lebih ramai kaunselor genetik bagi memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga yang terjejas disebabkan penyakit berasaskan genetik.
“Ia membantu individu memahami tentang penyakit berkenaan yang mereka atau keluarga mereka mungkin hadapi dan membuat pilihan terbaik tentang ujian genetik, selain pilihan pengurusan risiko terapeutik.
“Keperluan untuk kaunseling genetik telah meningkat dan peranan kaunselor untuk menguruskan isu-isu yang timbul semakin berkembang.
“Dianggarkan lima hingga lapan peratus penduduk terjejas oleh penyakit jarang berlaku, kebanyakannya berasal dari genetik,” ujarnya.
Ujar Nur Izzara, kebanyakan penyakit berkaitan genetik memberi kesan kepada seluruh keluarga, bukan setakat individu sahaja.
Dalam pada itu, tambahnya, Persatuan Jururawat dan Kaunselor Genetik, United Kingdom mengesyorkan, seorang kaunselor genetik sepenuh masa diperlukan bagi setiap 100,000 penduduk.
Dalam hal ini katanya, Malaysia jauh ketinggalan daripada saranan sedemikian, terutamanya dalam menyediakan akses kepada segmen golongan berpendapatan rendah (B40).
Bagi tujuan ini katanya, Kementerian Kesihatan perlu menyegerakan pengiktirafan rasmi terhadap peranan yang dimainkan oleh kaunselor genetik untuk meningkatkan akses kepada setiap lapisan rakyat di negara ini.
“Pelbagai pendedahan intelektual juga perlu dilakukan bagi menarik minat lebih ramai anak muda untuk mengambil bidang ini di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Ia penting agar negara kita tidak ketinggalan dalam kemajuan bidang kesihatan dan perubatan,” tambahnya.
Berpandangan jauh dan sentiasa sibuk dalam sesi perkuliahan melibatkan jurusan sukar, namun gadis ini tidak mensia-siakan zaman mahasiswanya apabila turut aktif dalam Kelab Genetic dan Kelab Career Buddy.
Bagi Nur Izzara, kedua-dua kelab itu banyak mencungkil bakat dan membuka mindanya untuk lebih terbuka menerima setiap teguran dan kritikan membina.
Di samping itu, gadis manis ini menjadikan usahawan selebriti terkenal negara, Neelofa sebagai idolanya.
Katanya, figura tersebut banyak menjadi perangsang buat dirinya untuk berjaya dan kuat dalam mengharungi kehidupan harian yang mencabar dan penuh dengan rintangan.
“Sebab beliau jugalah, saya berpegang teguh pada frasa beauty with brain.
“Saya ingin jadi seperti beliau yang banyak memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, selain pencapaian luar biasa dicapainya sehingga ke luar negara,” ujarnya menutup bicara.