Saudara Pengarang,
BERBANDING negara-negara lain di rantau ini, Malaysia memang terkenal dengan kehadiran buruh-buruh asing yang cukup besar jumlahnya.
Hakikatnya, masalah kekurangan pekerja tempatan banyak berkait rapat dengan masalah kekurangan bakat dan kemahiran yang ada pada anak-anak muda kita.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan buruh-buruh asing di negara ini adalah sekitar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja yang ada.
Dengan jumlah yang besar itu, peranan ekonomi yang dimainkan oleh buruh-buruh asing dalam ekonomi Malaysia juga semakin ketara.
Kalau dahulu, buruh-buruh asing hanya tertumpu kepada sektor-sektor pembantu rumah, perladangan dan pembinaan, tetapi kini mereka telah memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor.
Antaranya termasuklah sektor pembuatan seperti ekektrikal dan elektronik serta makanan dan minuman selain sektor perkhidmatan seperti pelancongan.
Sumber-sumber buruh asing ini juga pelbagai, tidak lagi tertumpu kepada tenaga kerja Indonesia semata-mata.
Kebiasaannya, sumber-sumber buruh asing ini datangnya dari negara yang boleh menawarkan gaji yang rendah.
Masalah utama adalah, kehadiran buruh-buruh asing ini dirumitkan lagi oleh bilangan pekerja asing tanpa izin (PATI).
Untuk lebih adil, kehadiran buruh-buruh asing ini bukanlah merampas hak rakyat Malaysia, tetapi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh rakyat Malaysia.
Mereka menyumbang secara positif kepada aktiviti-aktiviti ekonomi.
Nasaruddin Arshad,
Kuala Lumpur