fbpx

Seorang remaja patah kaki ditimbus tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bomba sedang melakukan kerja-kerja penyelamatan di rumah panjang di Jalan Entabai-Pakan di Sarikei, Sarawak, semalam.

SARIKEI – Seorang remaja lelaki patah kaki manakala seorang wanita cedera ringan dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang di Jalan Entabai-Pakan di sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 5.42 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor bergegas ke lokasi.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati berlaku tanah runtuh di belakang dapur dan bilik di empat daripada 36 pintu rumah panjang tersebut.

“Mangsa yang cedera iaitu remaja lelaki, Pagih Anak Belula, 13, yang patah bahagian kaki selepas tertimbus tanah sehingga aras paha dan berjaya dikeluarkan penduduk sebelum bomba tiba.

“Seorang lagi mangsa wanita, Telenjing Anak Gandi, 59, pula mengalami cedera ringan di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, remaja tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih bagi mendapatkan rawatan.

Ujar kenyataan itu lagi, anggota bomba memasang sawar-sawar (pengadang) di kawasan runtuhan berkenaan supaya tidak didekati oleh penduduk.

“Pihak bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta mengarah kesemua empat penghuni pintu tersebut berpindah ke rumah saudara yang lain,” ujarnya.

Kesemua empat pintu rumah tersebut melibatkan seramai 12 penghuni. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI