Bekas suami simbah petrol dan bakar wanita
BEIJING – Seorang selebriti media sosial Tibet di China meninggal dunia selepas bekas suaminya didakwa menyimbah minyak petrol sebelum membakar mangsa semasa dia sedang membuat rakaman penstriman langsung, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Suspek dikenali sebagai Tang dilaporkan memecah masuk kediaman bekas isteri, Lamu berumur 30 tahun dengan membawa senjata sebilah pisau dan bekalan minyak petrol sebelum melakukan serangan itu di hadapan ahli keluarga mangsa.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 malam (waktu tempatan), 14 September lalu. Mangsa dibawa ke Hospital Rakyat di wilayah Aba sebelum dipindahkan ke Hospital Sichuan pada 17 September lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Lamu dikenali sebagai seorang penghasil konten atau vlog mengalami kecederaan melecur hampir 90 peratus pada tubuhnya dan dirawat lebih dua minggu di hospital.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan dia meninggal dunia pada pukul 9 malam, Rabu lalu.
Seorang ahli keluarga Lamu, Zhuoma turut berkongsi kisah serangan itu dan meminta sumbangan orang ramai untuk meringankan kos rawatan mangsa.
Orang ramai dilaporkan memberi sumbangan hingga mencecah 1 juta yuan (RM613,190) untuk membayar rawatan hospital.
Laporan media tempatan mendakwa suspek melakukan serangan balas dendam selepas Lamu memfailkan penceraian kerana isu keganasan rumah tangga. Mereka mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil.
Lamu dikenali kerana gemar memuat naik video menunjukkan kehidupan seharian di kawasan pergunungan Aba dan aktiviti meniru aksi nyanyian penyanyi di media sosial.
Mangsa mempunyai lebih 782,000 pengikut di laman perkongsian video China iaitu Douyin, mirip aplikasi TikTok.
Polis sudah menahan Tang atas dakwaan cubaan membunuh dan masih menjalankan siasatan termasuk merungkai motif sebenar serangan tersebut. – Agensi