BUENOS AIRES – Pihak berkuasa Argentina merampas 1.6 tan dadah jenis kokain yang disembunyikan dalam makanan haiwan menuju ke Dubai dan memberkas 12 suspek, kata polis kelmarin.
Rampasan itu, yang berlangsung semalaman dari Khamis hingga kelmarin di pusat bandar Rosario, membuktikan peranan pelabuhan-pelabuhan Argentina dalam aktiviti pengedaran dadah dari Amerika Selatan ke peringkat antarabangsa.
“Kokain yang dirampas dianggarkan bernilai AS$60 juta,” kata ketua jabatan dadah berbahaya polis persekutuan, Mariano Giuffra
Tangkapan susulan rampasan itu dibuat di seluruh Argentina.
“Mereka semua warga Argentina dan sebahagian daripada mereka dikenali sebagai pengedar dadah,” tambah Giuffra.
Sebilangan senjata api, kereta sport dan sejumlah besar wang tunai turut dirampas.
Rosario yang terletak 310 kilometer dari Buenos Aires, ialah bandar ketiga terbesar di Argentina dan pelabuhan utama untuk eksport pertanian merentasi Lautan Atlantik.
Ia juga merupakan bandar paling ganas di Argentina, dengan kadar pembunuhan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadar purata negara itu .
Kokain tersebut telah disembunyikan di dalam beg-beg jagung yang akan dimuatkan ke dalam sebuah kontena menuju ke Dubai.
Polis berkata, kokain itu mungkin berasal dari Colombia iaitu negara pengeluar dadah terbesar di dunia.
Walaupun kebanyakan kokain dihasilkan di Colombia, Peru dan Bolivia, beberapa pakar berkata, Argentina semakin mengambil peranan penting dalam kegiatan haram tersebut.
Colombia, Peru dan Bolivia merupakan negara pengeluar daun koka yang merupakan bahan utama untuk menghasilkan kokain.