ISTANBUL – Dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan Arsenal dijangka tiada masalah untuk mengungguli saingan peringkat kumpulan Liga Europa musim ini.
Bagaimanapun, dua kelab itu tetap tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan mereka yang lain, terutama United selepas diundi dalam Kumpulan E bersama Real Sociedad yang menduduki tangga keenam La Liga musim lalu.
Biarpun kehilangan penggempur utama, Alexander Isak yang kini berhijrah ke Newcastle United, namun Sociedad masih memiliki ramai pemain hebat seperti Takefusa Kubo, Mikel Merino, Mikel Oyarzabal dan David Silva.
Pengendalinya, Imanol Alguacil mengamalkan corak permainan menyerang yang menarik dan telah berjaya menghadiahkan kejuaraan pertama buat kelab itu dalam tempoh 33 tahun selepas memenangi Piala Raja Sepanyol pada 2020.
Selain Sociedad, kelab Moldova, Sheriff Tiraspol juga merupakan pasukan yang mampu menghadirkan ancaman berdasarkan kejayaan mereka menewaskan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara musim lalu.
Kelab terakhir bakal dihadapi The Red Devils dalam Kumpulan E ialah Omonia Nicosia dari Cyprus yang dibimbing oleh legenda Celtic, Neil Lennon.
Cabaran Arsenal juga tidak kurang hebatnya kerana bakal bertemu semula ‘musuh’ lama, Ruud Van Nistelrooy yang kini mengendalikan PSV Eindhoven.
Selain PSV, skuad bimbingan Mikel Arteta itu dijangka tiada masalah untuk mengutip tiga mata ke atas wakil Norway, FK Bodo/Glimt dan FC Zurich dari Switzerland dalam Kumpulan A.
“Inilah cabaran yang kami mahukan selepas tiada aksi Eropah musim lalu. Peluang ini amat bermakna buat para pemain dan penyokong-penyokong untuk merasai suasana kejohanan peringkat Eropah,” kata Arteta.
Saingan peringkat kumpulan Liga Europa akan berlangusng dari 8 September hingga 3 November depan bagi memberi laluan kepada penganjuran Piala Dunia Qatar 2022.
Aksi kalah mati pula akan bermula 16 Februari 2023 dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Puskas Arena di Budapest, Hungary pada 31 Mei tahun depan. – AGENSI