BEIJING – Seorang wanita pertengahan usia di Shanghai, China menjadi sensasi internet selepas gaya pakaiannya yang unik dimuat naik di laman sosial tempatan, Weibo, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Wanita yang tidak didedahkan identiti itu digelar ‘Little Princess of Anhu Road’. Dia menarik perhatian orang ramai apabila keluar bersiar-siar dengan memakai gaun mini Lolita yang berambu-ramba.
Di saat kebanyakan orang menggelarnya wanita tua yang gila, beberapa akhbar tempatan mendedahkan dia sebenarnya berdepan dengan masalah kesihatan yang serius.
Selepas beberapa ketika menjalani rawatan, wanita itu mula keguguran rambut dan menjadi botak selain berat badannya bertambah dengan mendadak.
Namun dia memilih untuk tidak bersedih dan menjalani kehidupan sebaik mungkin dengan merealisasikan impiannya memakai koleksi gaun mini Lolita yang tidak sempat dipakai semasa zaman remaja.
Wanita ini menempah setiap satu gaun yang dipakai dan tidak pernah mengulang pakai fesyen yang sama.
“Dia seorang wanita yang sangat berani dan yakin diri,” komen seorang pengguna media sosial.
“Jangan pedulikan pandangan orang dan jalani kehidupan anda mengikut cara sendiri,” komen seorang lagi. – Agensi