fbpx

Bersabar 10 tahun berniaga hidu bau sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusof (dua dari kanan) memberikan tong sampah kepada peniaga di Jalan Pulau Gadong, Klebang di Melaka semalam.

MELAKA – Kira-kira 55 peniaga di Jalan Pulau Gadong, Klebang, di sini terpaksa menghidu bau busuk sampah yang dilonggokkan di hadapan premis mereka sejak 10 tahun lalu.

Peniaga kedai makan, Rohana Samad, 51, berkata, pelbagai sisa sampah dipercayai dibuang oleh penduduk luar sehingga menjadi tapak longgokan haram.

Katanya, terdapat beberapa tong sampah disediakan, namun tidak dapat menampung kapasiti sisa sampah yang dibuang.

“Saya berniaga di sini sudah lebih 10 tahun, memang selalu saya nampak orang luar buang sampah di sini seolah-olah tempat ini tapak pembuangan.

“Bila tong sampah penuh, mereka campak sahaja di tepi jalan dan kami di sini terpaksa menahan bau sisa tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

TINDAKAN segelintir individu yang membuang sisa buangan di luar tong sampah di Klebang, Melaka.

Amirul Asyraf, 33, turut meluahkan kekecewaan sama dan mendakwa keadaan itu bertambah teruk apabila cuaca hujan yang menyebabkan bau busuk menyelubungi kawasan itu.

“Ramai pelanggan rasa kurang selesa nak datang ke sini ke­rana bau busuk, jadi kami pun kurang pelanggan.

“Pendapatan jualan alat komunikasi di premis saya juga merosot, mahu salahkan mereka tak boleh tetapi apa yang amat dikesalkan adalah kami terpaksa menjadi mangsa sikap pengotor orang luar,” katanya.

Sementara itu, isu itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hasan yang memberikan 55 buah tong sampah kepada peniaga.

“Saya kecewa dengan sikap segelintir penduduk yang mengambil jalan mudah dan sanggup mengotorkan kawasan lain apatah tempat orang berniaga.

“Pemberian 55 tong sampah persendirian berkapasiti 120 liter yang akan diletakkan di hadapan premis peniaga diharap dapat menyelesaikan ini,” katanya.

Tambahnya, dia juga akan berbincang dengan Jawatan­kuasa Pembangunan Dewan ­Undangan Negeri (Japerun) Klebang dan Majlis Bandaraya Me­laka Bersejarah (MBMB) untuk menutup semua 16 tapak tong sampah di sekitar lokasi itu yang disalahgunakan menjadi tapak sampah haram. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI