PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di hampir semua negeri petang ini.
MetMalaysia menerusi hantaran Facebook memaklumkan, ia meliputi Perlis serta Kedah termasuk sekitar Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.
“Selain itu, cuaca buruk ini dijangka turut melanda keseluruhan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.
“Cuaca yang sama turut berlaku di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau,” katanya.
Menurut MetMalaysia, di Johor pula kawasan yang dilanda cuaca buruk termasuk Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu, hujan lebat dan ribut petir turut berlaku di negeri-negeri Pantai Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Bagi Kelantan, hujan dijangka melanda di Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala Terengganu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Pahang kawasan terlibat adalah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Rompin,” ujarnya.
Dalam pada itu, hujan lebat serta ribut petir turut berlaku di Sabah melibatkan Sandakan (Kinabatangan) serta Sarawak (Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Miri dan Limbang). – KOSMO! ONLINE