PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan model data raya cuaca.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kerjasama yang dilaksanakan menerusi Fakulti Sains dan Matematik (FSM) itu juga dapat memberi kelebihan kepada penuntut UPSI melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan kemahiran selain merancang program bermanfaat di masa hadapan.
“Kerjasama ini penting bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita juga yakin kerjasama ini dapat membangunkan masyarakat berilmu tentang solar berikutan sumber tenaganya yang bersih sekali gus menjadi negara maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani MoU itu dijalankan di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.
Sementara itu, Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, UPSI memiliki kepakaran dalam bidang sains yang boleh digabungkan dengan teknologi solar untuk menjana pelbagai pendapatan serta membina masa depan lebih baik.
Menerusi perjanjian itu, Gading Kencana akan menghantar panel solar ke makmal solar UPSI yang dinamakan Makmal Guntor Tobeng untuk membolehkan kajian penggunaan sekunder dilakukan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan. – KOSMO! ONLINE