PETALING JAYA – Pelakon popular, Remy Ishak memohon doa orang ramai buat ibunya, Basrah Md. Dris yang kini sedang bertarung nyawa untuk menjalani pembedahan jantung.
Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 40, ibunya sudah pun menjalani pembedahan jantung dan kini berada di CICU Hospital Serdang, Selangor.
“Selepas 10 sehingga 12 jam di dalam bilik pembedahan, operasi diberhentikan buat seketika dan akan bersambung semula selepas 48 jam,” tulis Remy menerusi Instagramnya sebentar tadi.
Meskipun percaya pada qada dan qadar, jelas Remy, dia dan adik-beradiknya cuba berusaha sehabis baik demi menyelamatkan ibu tersayang.
“Sebagai seorang muslim, saya percaya pada qada dan qadar. Saya percaya pada hari akhirat, saya percaya syurga dan neraka Allah.
“Namun, apa yang saya dan adik-beradik lakukan sekarang adalah ikhtiar. Masih banyak kebaikan dan kebahagiaan yang belum kami lakukan untuk ibu kami.
“Mohon jasa baik daripada kalian semua mendoakan untuk ibu saya dan adik-beradik supaya kami boleh bersama-sama semula dengan ibu kami,” ujar Remy.
Perkongsian Remy yang turut memuat naik sebuah video ibunya sedang ditolak di atas katil di hospital dan doa daripada pelajar tahfiz yang melakukan solat hajat cukup menyentuh emosi.
Justeru itu, ruangan komen akaun Instagram Remy dibanjiri ucapan dan doa daripada rakan artis serta peminat.
Antara selebriti yang menitipkan doa adalah Catriona Ross, Janna Nick, Mira Filzah, Azhan Rani dan Mimi Lana.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan ibu abang kuat. Insya-Allah,” tulis Janna Nick. – KOSMO! ONLINE.