KETUA jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim sedia untuk membentuk karakter baharu setiap pemain bagi memastikan mereka mampu bersaing di pentas tertinggi.
Nasihin yang dilantik oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) 18 September lalu menegaskan, karakter serta corak pemikiran pemain perlu berada pada tahap terbaik bagi mencapai visi jangka panjang persatuan tersebut.
Beliau yang akan mengendalikan skuad projek khas wanita mengakui usaha tersebut bakal membuahkan hasil sekiranya semua pemain turut memiliki misi sama sepertinya.
“Persiapan saya adalah untuk bina karakter serta corak pemikiran semua pemain untuk menjadi yang terbaik. Ianya perlu dalam usaha untuk membentuk kerjasama serta kesetiaan kepada pasukan.
“Selain itu, adab setiap pemain dalam pasukan dan staf akan turut dititikberatkan. Saya percaya sedikit perubahan yang kita lakukan ini akan menampakkan hasilnya untuk jangka panjang,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.
Mengulas senarai 30 pemain dipanggil bagi mengikuti latihan pusat bermula Isnin depan, bekas penjaga gol kebangsaan itu berkata, kriteria pemilihannya adalah berdasarkan usia serta kemahiran teknikal setiap pemain.
Katanya, dengan purata usia pemain 21 tahun amat menepati visi MHC yang meletakkan sasaran jangka panjang selain mengakui ada pemain-pemain muda memiliki teknik permainan lebih baik berbanding pemain senior.
“Bagi pasukan wanita, kriteria yang dipilih sudah tentu dari segi kemahiran teknikal, konsistensi serta umur pemain. Umur memainkan peranan penting bagi memastikan kita selari dengan visi jangka panjang MHC.
“Purata umur pemain sekarang adalah 21 tahun, jadi ia sesuai dengan projek 2026. Ketika itu, mereka sudah mencapai usia optimum untuk peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Daripada senarai 30 pemain, ia akan dikurangkan kepada 25 pemain pada Januari depan sebelum dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung 31 Mac hingga 6 April 2021.