fbpx

P. Pinang kekal bentang Bajet 2023 pertengahan November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) ketika merasmikan Kejohanan Esport LovePenang di 1st Avenue, George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang 2023 tidak akan diawalkan biarpun Kerajaan Pusat mengumumkannya tiga minggu lebih awal daripada jadual sepatutnya di Dewan Rakyat iaitu pada 7 Oktober depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang 2023 akan dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada pertengahan November depan.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, perkara itu bergantung kepada senario terkini politik negara sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak selepas Bajet 2023 dibentangkan.

”Sekiranya tidak dibubarkan (Parlimen) pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang masih ikut jadual yang ditetapkan iaitu pertengahan November.

“Ada dua kemungkinan yang bakal berlaku iaitu bentang (Bajet 2023) dan bubar, atau bentang dan biar bahas sehingga lulus baru dibubarkan (Parlimen). Kita lihat apa senario, dia (Kerajaan Pusat) boleh bentang dan bubar dengan serta merta, itu saya rasa tidak mungkin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Esport LovePenang di sini hari ini.

Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

Menurut Kon Yeow, jadual pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang akan tetap diikuti memandangkan terlalu banyak tidakpastian berlaku di dalam negara akibat pergolakan politik.

”Jadual negeri tidak berkaitan dengan Kerajaan Pusat melainkan ia (Parlimen) dibubarkan setelah pembentangan bajet, jika itu berlaku negeri perlu buat keputusan sama ada bubar (Dewan Undangan Negeri) atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau tidak melihat ada logiknya Kerajaan Pusat melaksanakan pembentangan Bajet 2023 dengan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

“Kita sebenarnya tidak sangka bahawa pergolakan politik yang berlalu sekarang menyebabkan Kerajaan Pusat mengawalkan pembentangan Bajet 2023.

“Dalam ingatan saya situasi ini pernah berlaku pada 1999, di mana Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan bajet awal yang kemudiannya dibahas lalu Parlimen dibubarkan sebelum bajet diluluskan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya situasi 1999 itu berulang kembali ini bermakna ada pihak yang merancang untuk menggunakan pembentangan Bajet 2023 untuk mempengaruhi pengundi.

”Saya tidak percaya permasalahan negara yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan dengan pembentangan bajet lebih awal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI