JEMPOL – Polis Negeri Sembilan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menerusi pelbagai latihan yang diadakan dari semasa ke semasa.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ruslan Khalid berkata, pihaknya mempunyai mekanisme bagi menghadapi pilihan raya itu yang mana anggota dan pegawai di setiap daerah sudah dilengkapi dengan maklumat berkaitan.
Ini termasuklah lokasi ‘hotspot’ (tumpuan) semasa PRU-15 dengan semua elemen di bawah kontinjen sudah bersiap sedia.
“Kita (polis) sudah terlatih dengan persiapan sejak pandemik Covid-19 termasuk dari segi keselamatan dan lalu lintas bagi memastikan setiap insiden yang berlaku dapat dikawal dan ditangani dengan baik.
“Latihan turut melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” katanya selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Taman Serting Indah, di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, Ruslan memberitahu, Taman Angkat Amanita terdapat di setiap daerah dan menyasarkan golongan wanita termasuklah suri rumah sebagai rakan polis atau ‘engage housewives in neighbourhood safety’.
“Golongan wanita terutama suri rumah merupakan perantara terbaik kerana mereka lebih peka dan dapat mengenali individu sekeliling selain kehadiran orang baru di satu-satu kawasan kejiranan.
“Justeru, kerjasama mereka dalam menyampaikan maklumat akan dapat menangani jenayah seperti pecah rumah, rogol dan sebagainya selain mampu membina perhubungan yang baik sesama jiran dan anggota keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE