LUMUT – Barisan Nasional (BN) belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk spekulasi yang mengaitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bakal bertanding di Perak.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga kini belum ada perbincangan di peringkat Pusat mengenai calon dan parti komponen yang bakal bertanding di mana-mana 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 24 Parlimen di Perak.
Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu menyifatkan desas-desus yang mengatakan Asyraf Wajdi bakal bertanding di Perak sebagai spekulasi semata-mata.
“Asyraf Wajdi ini Ketua Pemuda UMNO yang rajin dan selalu turun padang, di mana program Pemuda UMNO biasa dia akan hadir, kita memerlukan seorang ketua pemuda yang berkarakter begini, jadi jangan ada orang keliru bila dia kerap turun ke Perak, jangan ada yang berprasangka begini (mahu bertanding di Perak) ataupun dia kerap pergi ke Selangor (hendak bertanding di Selangor).
“(Ini) kerana keputusan tentang calon belum ada dan di peringkat pusat tidak berbincang siapa yang bertanding di mana serta belum ada keputusan muktamad. (Tetapi) biasalah bila mahu PRU, orang buat spekulasi macam-macam,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak 2022 di Seri Manjung di sini, hari ini.
Saarani diminta mengulas artikel bertajuk ‘Asyraf Wajdi beria mahu PRU segera tetapi kerusi Parlimen kena ‘block’ dengan MB Perak’ yang tular dalam satu blog susulan kenyataan Saarani sebelum ini bahawa tiada calon payung terjun di Perak.
Ditanya sama ada terdapat peluang untuk Asyraf Wajdi bertanding di Perak, Saarani menjawab ia terserah kepada ketentuan tuhan dan tiada siapa boleh menahan apa yang telah ditentukan oleh Allah.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar meminta pengundi Cina dan India agar mengubah pemikiran mereka dengan mengundi BN pada PRU-15 bagi memastikan ada wakil kedua-dua kaum itu dalam barisan Exco apabila BN kembali memerintah kerajaan negeri selepas pilihan raya tersebut. – KOSMO! ONLINE