KOTA BHARU – Istana Kelantan menyangkal dakwaan sebuah portal yang mendakwa Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dilarang masuk ke istana negeri ini.
Penglola Istana D’Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan larangan seperti yang didakwa oleh portal berkenaan.
Menurutnya, Istana Kelantan memandang serius tohmahan itu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal tersebut sekiranya fitnah tidak berasas itu berlarutan.
“Kami menyarankan agar pengamal media merujuk kepada istana terlebih dahulu mengenai kesahihan sebarang berita sebelum disiarkan.
“Ia bagi mengelakkan masyarakat keliru dengan berita tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak mahu bertemu dengan Tengku Maimun meskipun Ketua Hakim Negara itu berasal dari Kelantan.
Dakwa portal itu, sumber berita tersebut turut mengatakan dua nama lain turut disenarai hitam dan diharamkan daripada menjejakkan kaki ke Istana Kelantan termasuk seorang pemimpin politik yang kini merupakan menteri. – KOSMO! ONLINE