PETALING JAYA – Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya dipilih sebagai penerima Anugerah BrandLaureate BestBrands 2022 – Nation’s Pride Brand of the Year Award (Anugerah Jenama Kebanggaan Negara Terbaik).
Anugerah tersebut yang merupakan pengiktirafan kepada komitmen universiti itu disampaikan dalam Majlis Malam Gala anjuran The World Brands Foundation (TWBF) di Hotel Majetic, Kuala Lumpur semalam.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd. Janor berkata, pencapaian UiTM membuktikan bahawa universiti itu berada pada landasan yang betul.
Menurutnya, anugerah tersebut merupakan satu penghormatan yang tepat pada masanya yang mana UiTM menyambut ulangtahun ke-23.
“UiTM akan terus berusaha mencapai misi universiti dalam menyediakan asas yang kukuh melalui hubungan industri, menambah baik kualiti pengajian akademik dan kerjasama bersama pakar dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu, usaha memberikan pendidikan kelas pertama juga akan diteruskan termasuk khidmat masyarakat kepada pemegang taruh universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mewakili Naib Canselor di Majlis Malam Gala bagi menerima penganugerahan ialah Timbalan Naib Canselor UiTM (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman.
Suzana berkata, pengiktirafan berkenaan memberi harapan dan motivasi kepada semua kakitangan, termasuk para pensyarah, mahasiswa, dan staf sokongan universiti.
“Memartabatkan pendidikan bumiputera adalah salah satu objektif utama kami dan ini adalah penggerak di sebalik usaha yang dilakukan oleh UiTM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE