BOGOTA, Colombia – Seorang lelaki di Medellin, Colombia mengaut keuntungan berganda hasil daripada menjual botol yang mengandungi udara bandar tersebut, lapor laman berita Oddity Central, kelmarin.
Medellin yang merupakan bandar kedua terbesar di Colombia, dikenali sebagai ‘Kota Musim Bunga Abadi’ kerana iklimnya yang nyaman sepanjang tahun.
“Saya bukan sekadar menjual botol berisi udara tetapi keindahan bandar itu sendiri.
“Jangan risau, setiap bungkusan ‘udara’ bandar Medellin yang dijual adalah berkualiti,” kata peniaga berkenaan, Juan Carlos Alvarado.
Dia mendakwa telah mencipta kaedah khas untuk memerangkap udara dan membungkusnya dalam botol kaca kecil, yang perlu dibersihkan dengan teliti bagi memastikan tiada sebarang jenis bau.
“Saya mencipta peranti pengumpul udara yang cekap dan mengambil masa antara 15 hingga 30 minit untuk memerangkap zarah bagi menjana perasaan musim bunga itu.
“Ia adalah 100 peratus semula jadi,” ujarnya.
Lelaki itu memberitahu telah menjual lebih 300 botol udara pada harga AS$5 (RM22) setiap satu dalam tempoh tiga hari pertama. – Agensi