KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun kini hanya digalas beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas dua beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tersingkir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini, Soon Huat-Shevon terpaksa melupakan hasrat untuk membawa pulang sekurang-kuranganya pingat gangsa selepas tewas 17-21, 13-21 kepada wakil tuan rumah, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Bagaimanapun, mereka sudah mencuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan pilihan ketiga kejohanan itu apabila memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas mudah di set berikutnya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Soon Huat-Shevon tewas buat kali ketiga di pusingan suku akhir musim ini apabila turut tersingkir di pusingan sama pada kejohanan Malaysia Masters dan Terbuka Thailand.
Sementara itu, dalam satu lagi pertemuan, Kian Meng-Pei Jing akur dengan kehebatan beregu No.2 dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong apabila turut ditunjukkan jalan keluar menerusi kekalahan 9-21, 9-21.
Justeru, harapan Malaysia kini terletak di bahu wakil tunggal negara, Aaron-Wooi Yik yang dijadualkan bertemu beregu No.7 dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy di separuh akhir esok.-KOSMO! ONLINE