fbpx

Berganding bahu bangunkan pendidikan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RADZI menyampaikan ucapan pada sesi wacana Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Center (OAOSC) di Sungai Siput kelmarin. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

SUNGAI SIPUT – Pembangunan masyarakat Orang Asli memerlukan semua pihak memainkan peranan mereka sebagai ejen penyampaian dalam sistem pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sehubungan itu, pelaksanaan Program Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Peribumi yang diadakan selama tiga hari di negeri ini dirangka khusus bagi mencapai matlamat tersebut.

“Sekolah merupakan institusi sosial yang terbina hasil daripada permuafakatan pembentukan ekosistem masyarakat yang membentuk jaringan dan jalinan.

“Melalui pelaksanaan aktiviti yang dijalankan, semua pemegang taruh dapat memberikan pandangan, penglibatan secara aktif dalam setiap program yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Ogos lalu di Pusat Pentadbiran Dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Center (OAOSC), di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, ujar beliau, Program Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Peribumi di Perak melibatkan penyertaan pelbagai pihak, antaranya ibu bapa, pemimpin masyarakat serta pelajar Orang Asli.

Selain itu, beliau berkata, ia turut melibatkan pihak pengurusan pendidikan selaku pemegang taruh, guru-guru, guru pelatih ambilan khas Orang Asli serta mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Penglibatan semua pemegang taruh dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang merangsang tindakan dan pemikiran murid-murid serta saranan kepada ibu bapa, pemimpin tempatan dalam perkongsian wacana pendidikan berupaya melonjakkan aspirasi Keluarga Malaysia dalam membentuk nilai sejagat perpaduan melalui pendidikan.

“Pendidikan bukan sahaja penerapan ilmu tetapi juga satu proses ke arah memanusiakan manusia dalam membentuk peradaban dan tamadun yang cemerlang,” katanya.

RADZI (tengah) bergambar bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli OAOSC Sungai Siput kelmarin.

Radzi berkata, pendidikan merupakan perkara asas kepada pembangunan masyarakat tanpa mengenal warna kulit, batas keturunan dan jarak lokasi.

Katanya, tanggungjawab dalam pembangunan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli memerlukan semua pihak berganding bahu untuk melaksanakan program pembangunan pendidikan golongan tersebut ke arah kesejahteraan sosial negara.

“Mencari kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat adalah asas utama dan menjadi satu tuntutan besar. Ini kerana kehidupan tanpa hubungan baik akan membawa kepada ketidakstabilan dalam sistem sosial, politik dan ekonomi sesebuah negara.

“Dengan itu, setiap pihak perlu mempunyai sikap integrasi yang positif dengan yang lain agar hidup sejahtera dapat menjadi satu elemen berkekalan dalam masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Radzi berkata, aktiviti yang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak merupakan teras kepada pembangunan sesebuah sekolah.

“Melalui program yang dijalankan ini, pendekatan secara induktif iaitu menyantuni masyarakat Orang Asli melalui program ramah mesra yang dikendalikan oleh guru pelatih ambilan khas peribumi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan.

“Sementara itu, Latihan dalam Perkhidmatan kepada guru-guru dikendalikan oleh para pensyarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. Bengkel Robotik dikendalikan oleh Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, UIAM,” katanya.

 

Platform tepat bantu 238,000 pelajar peribumi

SUNGAI SIPUT – Program Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Peribumi merupakan platform tepat bagi membantu kira-kira 238,000 pelajar daripada kalangan masyarakat peribumi tersebut di negara ini.

Ketua Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Dr. Aminuddin Mohamed berkata, bagi tujuan itu, pihaknya memastikan segala aktiviti dilaksanakan berkait rapat dengan kehidupan Orang Asli.

“Ia perlu bagi menarik minat mereka, selain penglibatan secara terus oleh ibu bapa, guru-guru, pemegang taruh dan pemimpin masyarakat iaitu tok-tok batin.

“Pendidikan adalah hak milik masyarakat. Kita tidak mahu ada yang tercicir kerana ia (pendidikan) untuk semua, termasuk masyarakat Orang Asli. Program jalinan mesra ini memerlukan penglibatan masyarakat,” katanya kepada pemberita kelmarin.

PROGRAM Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Peribumi merupakan platform tepat bagi membantu kira-kira 238,000 pelajar masyarakat peribumi tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar dari IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Nurmauli Shamsudin, 20, berkata, masyarakat Orang Asli terutamanya golongan muda mempunyai tekad yang kuat untuk mengubah masa depan mereka.

“Justeru, ramai dalam kalangan mereka memanfaatkan segala bantuan yang diterima oleh kerajaan menerusi pelbagai program dilaksanakan saban tahun.

“Di sekolah, kita terima pelbagai bentuk bantuan seperti pakaian dan wang saku. Segala kemudahan yang diterima membolehkan mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bahkan ia membantu meringankan beban ibu bapa,” katanya.

Pandangan sama dikongsi rakan kampusnya, Shahrulhakimi Josaemi, 18, yang berkata, golongan muda Orang Asli turut mewarisi minat generasi terdahulu dalam bidang perniagaan.

“Banyak produk yang dihasilkan komuniti Orang Asli dan ia sepatutnya dijadikan ‘senjata’ bagi mengubah nasib mereka. Jadi, program-program kesedaran melibatkan komuniti ini adalah amat dialu-alukan.

“Program sedemikian penting kerana menerusi ilmu yang dikongsi serta pendidikan di sekolah, kebolehan berniaga Orang Asli dapat dikembangkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI