KUALA LUMPUR – Kejohanan Bina Badan Mr. Malaysia di Alor Setar, Kedah yang akan membuka tirainya esok menjadi medan terbaik untuk mencari bakat baharu mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Sukan Sea Kemboja 2023.
Setiausaha Eksekutif Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Nor Mohd. Riduan Anan berkata, seramai 158 peserta mengambil bahagian biarpun selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.
Menurutnya, sukan bina badan di Malaysia tidak pernah ketandusan atlet hebat seperti Sazali Samad serta Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Hanoi tahun ini.
“Apabila menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sama ada di kejohanan dunia, Asia atau Sukan Sea, atlet bina badan negara sering meraih pingat emas. Kita juga raih dua emas sewaktu Kejohanan Asia bulan lalu.
“Penganjuran Mr. Malaysia adalah peluang kita untuk mencari atlet berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk di Sukan Sea Kemboja tahun depan yang sekali lagi menawarkan acara bina badan.
“Kita harus memanfaatkan peluang ini kerana bukan mudah untuk sukan bina badan dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan seperti Sukan SEA.
“Masih tidak pasti berapa kategori yang akan dipertandingkan oleh tuan rumah tetapi diharap ia dapat menyamai 10 kategori seperti di Hanoi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan Kedah Darulaman (PBBKD), Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, ini adalah kali pertama Mr. Malaysia dianjurkan di Kedah dengan menjadikan Hotel Grand Alora sebagai venue rasmi.
“Kami sudah mengambi inisiatif untuk menganjurkan Mr. Malaysia sejak 2018. Sepatutnya kamimenjadi tuan rumah pada 2020 selepas edisi terakhir di Sabah pada 2019.
“Namun, negara berdepan Covid-19 menyebabkan Mr. Malaysia tertangguh selama dua tahun. Mungkin itulah jumlah penyertaan untuk merebut kejuaraan Mr. Malaysia kali ini sangat menggalakkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE