KOTA BHARU – Ketiadaan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk kembali memerintah negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau mengakui agak terkesan dengan situasi ketika ini, namun perjuangan parti tidak akan terhenti dan akan diteruskan bagi mencapai matlamat untuk memenangi PRU-15 nanti.
Menurutnya, paling penting ketika ini adalah untuk mendapat keyakinan daripada rakyat bahawa BN adalah parti terbaik untuk memerintah negara.
“Keadaan ketika ini (ketiadaan Najib) bukan segala-galanya kerana masih ramai lagi yang berdiam diri dan rakyat lebih tahu.
“Oleh itu, saya yakin ia akan memberi peluang kepada BN untuk menang pada PRU-15 nanti. Peti undi ini akan menterjemahkan semuanya nanti,” katanya selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Kampung Padang Limau, Bukit Bakar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, beliau agak terkilan apabila UMNO hilang seorang pemimpin berpengaruh yang mampu membantu kemenangan pada PRU-15 nanti.
“Kita telah kehilangan tempat rujukan kerana kerja-kerja parti perlu dipandu dan perlu ada nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.
“Bagaimanapun, kita masih mempunyai Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE