fbpx

Pelajar cemerlang guna pas sambung belajar di negara sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NUR SHAKILA tetap optimis dan bersemangat walaupun berdepan cabaran besar untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti ketika ditemui di Rembau semalam.

REMBAU – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, Siti Nur Sha­kila Abdullah, 20, kini terpaksa memohon pas pelajar bagi membolehkannya menyam­bung pelajaran di negara sendiri.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, Melaka itu berkata, tiga hari lalu, dia dibawa dua guru sekolah tersebut ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur untuk urusan permohonan pas pelajar bagi membolehkannya menyambung pelajaran di mana-mana universiti awam.

Siti Nur Sha­kila yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 tertinggi di sekolah berkenaan berkata, dia merupakan harapan neneknya, Termah Kasim, 71, bagi me­ngubah nasib keluarga mereka melalui pendidikan.

“Nenek berulang kali cakap jangan patah semangat belajar, walaupun hanya bergantung dengan duit bantuan nenek iaitu Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700 sebulan bagi membesarkan kami tiga beradik yang tiada kad pengenalan.

“Apa yang nenek katakan itu benar kerana kalau kami mahu bekerja tanpa kad pe­ngenalan, siapa yang mahu ambil dan kami hanya berpeluang bekerja di kedai makan sahaja dengan ihsan peniaga,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Radin, di sini semalam.

Ujarnya, dia juga bimbang apabila kos melanjutkan pelajaran akan meningkat sekali ganda apabila dia masih lagi belum diiktiraf kewarganegaraan.

“Wang bantuan nenek pun hanya cukup-cukup makan buat kami, belum lagi saya sambung belajar nanti. Namun semangat nenek yang sejak kecil membesarkan kami tanpa pekerjaan tetap membuatkan saya sentiasa positif untuk te­rus cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

Ujarnya, dia serta dua adik iaitu Siti Nur Nilam Sari, 18, dan Muhammad Haikal Idham, 12, kesemuanya tidak berpeluang memiliki kad pengenalan.

“Adik-adik saya masih belajar di sekolah kerajaan dan Siti Nur Nilai Sari kini me­nyambung pelajaran di peringkat STPM di sekolah yang sama,” ceritanya.

Menurutnya, tuntutan hidup masa kini juga semakin mencabar dan mereka juga semakin meningkat usia serta memerlukan kewangan yang lebih besar berbanding 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Siti Nur Shakila berkata, permohonan mereka untuk memiliki kad pengenalan berhadapan de­ngan masalah apabila pernikahan ibu bapa mereka di Riau, Indonesia tidak didaftarkan baik di Indonesia mahupun di Malaysia.

“Saya dilahirkan di rumah kongsi Ampang, Kuala Lumpur ketika ayah pada masa itu be­kerja sebagai buruh projek perumahan. Manakala, adik saya, Siti Nur Nilam Sari lahir di Hospital Selayang dan yang bongsu lahir di rumah nenek,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI