KESILAPAN demi kesilapan yang dilakukan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun membawa padah tersingkir daripada saingan.
Pada aksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo kelmarin, juara Asia itu akur gagal mencapai sasaran untuk menjadi juara dunia selepas tewas dalam aksi tiga set 19-21, 21-11, 19-21 kepada pemain China, Zhao Jun Peng.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui, kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang aksi nyata memberi kelebihan kepada Jun Peng.
“Saya fikir saya banyak melakukan kesilapan pada perlawanan hari ini (kelmarin). Selain itu, Zhao (Jun Peng) juga bermain sangat baik dalam keseluruhan permainan,” kata pemenang kejohanan Seluruh England (All England) 2021 itu.
Pada masa sama, pemain No. 5 dunia itu turut menjelaskan, dia perlu bermain lebih sabar selepas ini selain mahu memastikan corak permainannya lebih konsisten menjelang kejohanan akan datang.
“Sasaran saya selepas ini adalah untuk pastikan permainan lebih stabil, selain bermain dengan lebih sabar. Saya juga mahu memastikan agar dapat mengawal permainan dengan lebih baik nanti,” ujar Zii Jia.
Kekalahan itu bukan sahaja menyaksikan hasratnya untuk menjadi juara dunia tidak kesampaian, malah turut gagal mengulangi pencapaian ketika menewaskan Jun Peng di suku akhir Terbuka Jerman Mac lalu.
Sebagai rekod, pemain berusia 24 tahun itu menjadi tumpuan apabila menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberi tumpuan terhadap Kejohanan Dunia.