fbpx

NASA kagum temui bulan paling kecil di hujung sistem suria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Batu angkasa itu akan menjadi bulan paling kecil yang pernah ditemui. - NASA

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa saintis-saintisnya menemui ‘bulan mini’ yang dikesan mengorbit sebuah asteroid di pinggir sistem suria, lapor akhbar Daily Star semalam.

Batu satelit berdiameter kira-kira lima kilometer (km) itu ditemui mengorbit sebuah asteroid kecil berhampiran planet Musytari bernama Polymele.

Saiz Polymele adalah sekitar 27 kilometer dan jika objek yang mengorbitnya itu disahkan sebagai satelit, ia akan menjadi salah satu bulan paling kecil pernah ditemui.

Bulan itu ditemui oleh pasukan NASA yang menjalankan misi Lucy dengan menghantar sebuah kapal angkasa penjelajah lepas ke pinggir sistem suria untuk mengumpul data mengenai beberapa asteroid Trojan yang merupakan dua gugusan batu besar terletak di orbit Musytari.

“Pada 27 Mac lalu, pasukan sains Lucy mendapati bahawa sasaran asteroid Trojan terkecil, Polymele, mempunyai satelitnya sendiri,” demikian kenyataan agensi itu.

Ketika ditemui, asteroid berkenaan berada di hadapan bintang jauh yang membolehkan penyelidik mengkaji dengan tepat saiz batu angkasa terbabit.

Mereka memerhati sejauh mana cahaya bintang itu disekat oleh asteroid tersebut. Ketika berbuat demikian, mereka melihat kelibat yang lebih kecil melepasi Polymele.

Batu satelit dan asteroid pusatnya itu terletak sejauh kira-kira 200 kilometer. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI