fbpx

EPL: Casemiro tagih kesungguhan rakan sepasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CASEMIRO hampir pasti berada dalam kesebelasan utama United ketika mereka turun menentang Southampton malam ini. – TWITTER MANCHESTER UNITED

MANCHESTER – Bintang baharu Manchester United, Casemiro mengakui bahawa dia mengharap­kan rakan sepasukan baharunya mampu memberikan sepenuh komitmen ketika sesi latihan dan pada setiap perlawanan yang mereka harungi.

Pemain antarabangsa Brazil itu melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dari Real Madrid dan dijangka turun membarisi kesebelasan utama ketika United bakal berdepan Sout­hampton pada aksi Liga Perdana Inggeris malam ini.

Casemiro dianggap sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik di dunia dan kehadirannya dilihat sebagai menyelesaikan masalah United di posisi berkenaan yang menjadi punca mereka berdepan dua kekalahan awal musim ini.

“Saya adalah seorang pemain yang sentiasa bekerja keras. Saya akan memberikan segala-galanya ketika di padang, tetapi bukan sekadar 90 minit di dalam perlawanan sahaja, sesi latihan juga sangat penting buat saya. Anda perlu berlatih seperti berdepan perlawanan.

“Tanpa mengira keputusannya, saya fikir semua orang mahu memenangi perlawanan, menang ketika sesi latihan, belajar sesuatu ketika berlatih, tetapi saya adalah seorang yang mahu pulang ke rumah dengan yakin bahawa saya sudah melakukan yang terbaik.

“Itu adalah falsafah saya dan apa yang saya terapkan dalam mentaliti. Sekarang saya akan berikan semua itu kepada Manchester United,” katanya.

Dalam pada itu, Casemiro yang bakal menjadi pemain baharu di posisi tengah mengakui bahawa Fred adalah gandingan serasi kerana kedua-dua mereka sudah beraksi bersama Brazil sejak kebelakangan ini.

“Saya mengenalinya dan dia seorang pemain yang baik. Sebab itu dia bermain untuk Manchester United dan Brazil kerana bukan senang untuk berada di dalam skuad bagi kedua-dua pa­sukan ini.

“Fred memiliki banyak kualiti, saya fikir dia cukup bagus ketika melakukan gerakan. Dia sentiasa berlari, hantarannya baik, rembatan dan percubaannya berbahaya selain mampu menggunakan kedua-dua kaki,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI