fbpx

‘Jodoh’ Barcelona, Bayern Munich kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SESI undian saingan Liga Juara-Juara yang berlangsung awal pagi semalam menyaksikan Barcelona diletakkan bersama Bayern dan Plzen serta Inter dalam Kumpulan C. – AFP

ISTANBUL – Kelab gergasi La Liga, Barcelona terus ‘dijodohkan’ dengan jaguh Bundesliga, Bayern Munich selepas diundi dalam Kumpulan C pada kempen Liga Juara-Juara musim ini bersama Inter Milan dan Viktoria Plzen.

Sebagai rekod, skuad The Ca­talans kendalian Xavi Hernandez itu turut diundi dalam kumpulan yang sama dengan Bayern pada saingan yang sama musim lalu, tetapi gagal melepasi peringkat tersebut sehingga tersingkir ke kancah kalah mati Liga Europa.

Timbalan Presiden Barcelona, Rafael Yuste optimis barisan pemain sudah belajar daripada kesilapan lepas sekali gus mahu menebus kekecewaan setelah menandatangani ramai pemain berkualiti musim ini termasuk bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski.

“Saya rasa tiada masalah untuk pasukan melepasi saingan peringkat kalah mati meskipun diundi dalam kumpulan maut buat musim kedua berturut-turut. Saya percaya kali ini kami akan tampil dengan lebih garang terutama dengan kehadiran ramai pemain baharu.

“Namun, kami tetap menghormati Bayern dan dalam masa yang sama tidak risau kerana pasukan tidak akan jadi pasukan belasahan seperti musim lepas. Saya pasti penyokong juga teruja dengan undian kali ini dan kita lihat keputusannya nanti,” katanya.

Bagi pengendali Bayern, Julian Nagelsmann mengakui tidak sabar untuk mencongak strategi bagi mengekang ancaman yang boleh dilakukan Lewandowski pada pertemuan peringkat kumpulan yang dijangka bermula bulan depan.

“Selepas undian dilakukan, sudah tentu tajuk utama adalah pertemuan semula Bayern dan Lewandowski. Namun, saya yakin kami tidak akan berdepan kesulitan sekali gus meraih keputusan positif seperti yang diraih ke atas Barcelona sejak beberapa musim lepas,” katanya.

Sementara itu, Liverpool menjadi wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menerima undian paling sukar selepas diundi menentang juara Liga Belanda, Ajax Amsterdam, kelab Serie A, Napoli dan finalis Liga Europa musim lalu, Rangers.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp menaruh harapan tinggi buat pasukannya untuk terus merekodkan keputusan positif sekali gus mengulangi penca­paian musim lalu selepas mara ke peringkat final sebelum tewas kepada Real Madrid. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI