PASIR MAS – Kerajaan memperuntukan sebanyak RM9.5 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan banjir yang dijangka akan berlaku di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM1 juta diberikan kepada negeri Kelantan.
Menurutnya, peruntukan itu disalurkan melalui JKM yang diagihkan dalam bentuk makanan, toto dan selimut untuk mangsa yang terjejas banjir.
“Musim monsun ketika ini tidak menentu dan banjir bukan hanya berlaku di Kelantan sebaliknya boleh terjadi di seluruh negara. Kerajaan melalui JKM dan agensi lain sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir tahun ini.
“Selain itu, penglibatan sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat juga akan membantu daripada segenap aspek semasa musibah banjir berlaku nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Sempena Festival Pasir Mas, Jjupo Mata Pasir Mas di Dataran Bandar Baru Pasir Mas di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi.
Dalam pada itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut merangka plan jangka pendek persiapan menghadapi banjir bagi perkampungan pinggir Sungai Golok yang kini masih lagi dalam pembinaan benteng bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Katanya, benteng banjir itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 dan persiapan banjir untuk jangka masa pendek perlu dirangka buat sementara waktu.
“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran. Ada dua atau tiga cara teknikal untuk mengatasi banjir di kawasan ini iaitu kawalan pintu air dan pam besar perlu disediakan nanti.
“Sekiranya berlaku takungan air yang besar, pam ini akan berperanan membantu mengimbangi paras air banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE