fbpx

Beberapa individu akan dipanggil berhubung siasatan ke atas KLFA – SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa individu dalam masa terdekat untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Menurut sumber, serbuan dan siasatan telah dilakukan ke atas pejabat KLFA dan Kuala Lumpur City FC (KL City) minggu lalu susulan daripada laporan diterima pihak SPRM mengenai kes pecah amanah membabitkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, Kuala Lumpur.

“Ketika ini, dokumen yang diperolehi dari pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Tajaan paling besar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur, bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan, SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, SPRM minggu lalu telah membuat serbuan ke atas pejabat persatuan bola sepak tersebut dipercayai bagi mengumpul dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, terdapat keraguan berhubung pengurusan KLFA termasuk proses keluar masuk kewangan selain tindakan pegawai atasan KLFA yang melakukan perjanjian kerjasama dengan mencagarkan tanah akademi tanpa pengetahuan exco KLFA bagi tujuan tertentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI