fbpx

IPK Kelantan anjur Ekspedisi Kemerdekaan di kampung Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga IPK Kelantan yang menyertai Ekspedisi Kemerdekaan di perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang semalam. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 60 warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkampung selama dua hari sepanjang Ekspedisi Kemerdekaan ke perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota dan pegawai pelbagai pangkat termasuklah fasilitator Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) turut terlibat menyantuni 75 keluarga Orang Asli Bateq di perkampungan tersebut.

Katanya, program khidmat masyarakat itu diadakan bermula kelmarin dan berakhir semalam itu untuk menyemarakkan Bulan Kemerdekaan bersama masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Program ini bertujuan membangkitkan semangat patriotik selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan diri, kesihatan dan pengetahuan psiko-sosial.

“Kami turut menyampaikan bantuan bakul makanan asas daripada food bank Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang kepada semua keluarga Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini semalam.

Sementara itu, Tok Batin Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, penduduk gembira apabila orang luar datang mengadakan aktiviti di kampung mereka.

Katanya, aktiviti berteraskan kemerdekaan itu dapat memupuk semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat Orang Asli.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada warga polis kerana sudi berkampung dan melaksanakan banyak aktiviti bersama penduduk.

“Kebanyakan penduduk bersemangat menyertai aktiviti yang dianjurkan dan berharap banyak lagi program dapat dilakukan di kampung ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI