KOTA BHARU – Seorang peniaga makanan rugi RM5,000 selepas hampir kesemua barangan jualan dan kelengkapan memasak rosak dalam kejadian ribut yang melanda pekarangan Stadium Muhammad IV di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.05 malam semasa penganjuran hari pertama Festival Kelantan 2022 dan Hari Belia yang menghimpunkan seramai 80 peniaga membuka gerai sepanjang 10 hari program itu.
Nurul Shahira Shukry,30, berkata, dia dan suaminya, Mawazlan Yusoff,37, membuka gerai menjual air balang, lokcing, jagung dan wafel pada program sehingga 3 September depan itu.
Menurutnya, semasa sedang membuat wafel pelanggan, ribut tiba-tiba kuat diselangi dengan pasir berterbangan sebelum dia melihat khemahnya sudah terangkat.
“Saya bersama suami terus mengambil anak kami yang berusia lima tahun dan terus lari menyelamatkan diri di kawasan kedai makan berhampiran stadium.
“Ribut yang berlaku dalam tempoh beberapa minit itu telah meranapkan khemah perniagaan kami, namun saya tetap bersyukur apabila kami sekeluarga dan pelanggan selamat. Saya bimbang kipas di dalam khemah itu jatuh menghempap kami semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Nurul Shahira, kejadian itu menyebabkan hampir kesemua barangan jualan dan peralatan rosak sehingga dia tidak dapat berniaga untuk hari kedua dalam Festival Kelantan 2022 pada hari ini.
Katanya, bagaimanapun, dia akan meneruskan perniagaan esok kerana sudah membayar sewa tapak selama 10 hari program itu sebanyak RM2,500 kepada penganjur.
Terdahulu, tular di media sosial video yang menunjukkan khemah peniaga di Stadium Muhammad IV di sini diterbangkan ribut sehingga menyebabkan peniaga dan pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri ke kawasan bangunan berhampiran.
Sementara itu, Pengurus Acara Kelantan Festival 2022, Lokman Hakim Jazlan berkata, seramai 20 daripada 80 peniaga didapati terjejas dan hanya empat buah khemah ranap dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pihak penganjur, hanya seorang pelanggan mengalami luka ringan selepas dipercayai terjatuh semasa menyelamatkan diri semasa ribut berlaku.
“Festival Kelantan 2022 tetap diteruskan kita sudah menerima bayaran tapak daripada peniaga. Kita akan membaiki dan menganti khemah peniaga agar program dapat dijalankan sehingga ke hari terakhir festival ini,” katanya.
Tambah Lokman Hakim, pihaknya sedang membuat pengiraan jumlah kerugian dan masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE