ALOR GAJAH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum menerima sebarang permohonan rasmi berkaitan cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan membenarkan etnik Rohingya mengisi kekurangan tenaga kerja di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya juga belum membuat sebarang perbincangan berhubung cadangan berkenaan.
“Kita tunggu dulu aduan daripada MEF secara rasmi, di peringkat kementerian kita belum ada berbincang mengenai perkara ini kerana belum menerima sebarang aduan (cadangan).
“Mungkin perbincangan di luar sana, mungkin belum sampai kepada pihak kementerian secara rasmi. Ini sebenarnya melibatkan banyak pihak seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Jabatan Imigresen serta beberapa akta yang tidak dihuraikan, biar kita tunggu aduan secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penerima, Mohd. Zulkifli Omar, 59, di Taman Kelemak Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, isu kekurangan pekerja yang dianggap semakin menekan golongan majikan di negara ini mewajarkan kerajaan mempertimbang untuk membenarkan etnik Rohingya bekerja bagi mengisi jurang berkenaan.
Beliau berkata, situasi mendesak ketika ini disifatkan sebagai masa sesuai untuk memberi kebenaran kepada pelarian berkenaan yang berdaftar dengan UNHCR diambil bekerja. – KOSMO! ONLINE