PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad merekodkan keuntungan pra-cukai berjumlah RM233.16 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (1H 2022), disokong peningkatan permintaan dalam sektor automotif berbanding kerugian pra-cukai RM243.22 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Perolehan turut meningkat kepada RM6.62 bilion berbanding RM6.13 bilion dalam enam bulan pertama tahun 2021 (1H 2021), yang mana dua per tiga daripada perolehan disumbangkan sektor automotif.
Prestasi lebih baik itu turut dirangsang oleh pengurangan kerugian di syarikat penghantaran pos dan logistic, Pos Malaysia Berhad yang masih meneruskan program transformasi mereka ketika ini.
DRB-HICOM dalam satu kenyataan di sini berkata, unit perbankannya, Bank Muamalat mencatatkan perolehan bernilai RM587.69 juta berbanding RM546.79 juta tahun lalu, disumbangkan peningkatan pendapatan pembiayaan peribadi dan pembiayaan hartanah.
“Dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan, peningkatan penghantaran oleh kontraktor pertahanan, DEFTECH dan perolehan yang lebih baik dari CTRM membantu sektor ini mencatatkan perolehan sebanyak RM309.37 juta.
“Sektor perkhidmatan Kumpulan pula berjumlah RM357.56 juta, selepas peningkatan permintaan untuk kenderaan terpakai menyaksikan pendapatan pemeriksaan di PUSPAKOM meningkat, manakala hasil katering penerbangan dan pengendalian darat Pos Aviation turut naik apabila perjalanan udara di peringkat global kembali pulih,” katanya.
Menurut DRB-HICOM, pemulihan Kumpulan kekal di landasan yang betul dan prestasi yang lebih baik diunjurkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding tahun sebelumnya.
“Pengeluaran model baharu, serta pelbagai program promosi oleh semua jenama dalam Kumpulan dijangka meningkatkan lagi segmen automotif DRB-HICOM.
“Segmen perbankan dijangka berkembang dalam pembiayaan runcit berikutan prospek ekonomi domestik yang lebih baik.
“Sementara itu, segmen pos Kumpulan akan meneruskan pelan transformasinya untuk kekal sebagai peneraju utama pasaran dengan perkhidmatan penghantaran keesokan hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE