PETALING JAYA – Syarikat peruncitan, AEON Co. (M) Bhd. (AEON) dengan kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) akan mengadakan kempen ‘Kita Merdeka Kami Anak Malaysia’ sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-65.
AEON dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, kempen tersebut akan berlangsung di Pekarangan AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 31 Ogos ini bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.
“Ini juga merupakan salah satu usaha AEON memberikan pengalaman baharu kepada pengunjungnya dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti sosial yang sihat.
“AEON dan Irama berharap agar kempen ini dapat menyuntik semangat patriotik dikalangan rakyat Malaysia agar terus cintakan negara,”katanya.
Mengulas lanjut AEON berkata, sempena kempen tersebut, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sempena kempen tersebut, antaranya, khidmat tukar minyak hitam motosikal kapcai secara percuma, ‘bike gathering’, persembahan artis dan pelbagai acara pameran.
Selain itu katanya, AEON turut menganjurkan pertandingan nyanyian Kita Merdeka Kami Anak Malaysia Mencari S7 & IRAMA Idol.
“Menerusi pertandingan ini, juara akan membawa pulang wang tunai RM1,000, RM800 untuk tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga beserta piala serta sijil.
“Objektif pertandingan ini bertujuan mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri seni tanah air,” jelasnya
Tambah kenyataan itu, AEON juga akan mengadakan satu konsert, Kami Merdeka yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam.
Katanya, konsert tersebut akan menampilkan artis seperti Dr Sam yang popular menerusi lagu patriotik Saya Anak Malaysia, Aris Ariwatan, Ezad Lazim, Eka Hazika, Winnie K, manakala pengacara ialah Hairul Nizam (DIVA).-KOSMO ONLINE