fbpx

Perlukah cacar monyet diisytihar pandemik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIMPTOM cacar monyet hampir sama dengan penyakit cacar, cuma mempunyai tahap keseriusan yang berbeza. – Gambar hiasan

Dunia dilanda panik apabila penyakit cacar monyet (monkey pox) diisytiharkan Kecemasan Kesihatan Dunia pada 23 Julai lalu.

Pengumuman ini dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan situasi semasa penyakit yang telah menjangkiti lebih 16,000 orang daripada 75 buah negara. Lima kematian telah dilaporkan setakat ini.

Adakah ia sejenis penyakit yang baru dijumpai seperti Covid-19? Apakah kaitan penyakit ini dengan monyet?

Cacar monyet telah ditemui pada tahun 1958 apabila berlakunya wabak penyakit yang menyerupai smallpox atau cacar dalam kalangan monyet yang dipelihara di makmal penyelidikan.

Penyakit ini disebabkan virus cacar monyet yang berasal daripada keluarga yang sama dengan virus variola, menyebabkan smallpox atau cacar dalam kalangan manusia.

Penyakit ini tidak mempunyai kaitan dengan penyakit chicken pox atau cacar air yang disebabkan virus varicella.

Kes pertama cacar monyet dalam kalangan manusia dilaporkan pada tahun 1970 di Republik Congo.

Sebelum tahun 2022, kes-kes hanya ditemui di negara-negara Afrika ataupun berkaitan dengan kes yang berasal dari benua tersebut.

Namun, wabak kali ini pada tahun 2022, jangkitan dilaporkan berlaku di negara-negara lain termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Ini menimbulkan kebimbangan awam dan menyebabkan pengisytiharan penyakit ini sebagai Kecemasan Kesihatan Sedunia.

Kebimbangan adalah bagaimana kes jangkitan penyakit ini boleh berada di luar kawasan kebiasaannya.

Adakah disebabkan oleh individu yang membawa penyakit ini keluar dari benua Afrika, mereka yang pada awalnya tidak menunjukkan gejala ruam ataupun penyakit ini merebak dengan cara lain?

Penting untuk kita mengetahui bagaimana penyakit ini merebak.

bentuk virus cacar monyet yang dilihat menerusi mikroskop. – gambar hiasan

Antaranya adalah dengan cara sentuhan pada ruam atau cecair tubuh secara langsung ataupun tersentuh dengan tidak sengaja tempat-tempat yang tercemar dengan cecair itu.

Cecair daripada salur pernafasan juga boleh tersebar apabila melakukan aktiviti harian atau hubungan intim termasuk berpelukan, bercium dan mengadakan hubungan seksual.

Ibu mengandung juga boleh menyebarkan jangkitan virus kepada anak yang dikandung.

Seperti penyakit cacar lain, penyebaran kepada individu lain bermula apabila gejala penyakit timbul dan berakhir setelah semua ruam sembuh.

Secara teorinya, mereka yang tidak bergejala tidak menyebarkan virus kepada orang lain.

Gejala cacar monyet ini hampir sama dengan penyakit cacar, namun mempunyai tahap keseriusan yang kurang.

Jarang sekali penyakit ini menyebabkan kematian.

Antara gejala yang dilaporkan termasuk demam, sakit kepala, sakit badan, bengkak kelenjar, keletihan dan ruam berbiji pada muka, tangan, kaki, dada serta kemaluan.

Sesetengah pesakit hanya mengalami ruam sahaja. Ada juga yang mengalami ruam pada peringkat awal jangkitan, diikuti dengan gejala-gejala lain seperti demam.

Kajian dalam kalangan 528 pesakit dari 16 buah negara bermula April hingga Jun tahun ini menunjukkan, 95 peratus kes merebak melalui aktiviti seks.

Hampir semua mereka (98 peratus) adalah dalam kalangan pengamal homoseksual dan lelaki yang biseksual, manakala 41 peratus daripada mereka adalah dalam kalangan yang positif jangkitan HIV.

Sekiranya gelaja dalam kalangan pesakit adalah serius, rawatan menggunakan ubat antivirus Cidofovir adalah antara yang dilaporkan berkesan terhadap penyakit ini.

Pencegahan penyakit cacar monyet adalah dengan cara elak menyentuh, berpeluk, bercium, mengadakan hubungan seks dan berkongsi peralatan makan serta pakaian dengan seseorang yang mempunyai ruam berbiji seperti cacar monyet.

Kerap mencuci tangan dengan air serta sabun atau menggunakan hand sanitiser adalah langkah pencegahan berkesan.

Jika anda dijangkiti, kuarantin diri di rumah dan lakukan pengasingan daripada ahli keluarga lain.

Persoalannya, adakah cacar monyet boleh menjadi pandemik?

Jawapannya, walaupun kebarangkaliannya ada, namun ia agak mustahil untuk berlaku. Ini adalah berdasarkan beberapa hujah.

Pertama, cara penyebaran cacar monyet tidak semudah Covid-19 yang tersebar melalui udara, memerlukan seseorang berada dekat dan berinteraksi atau berhubungan secara rapat dengan pesakit.

Kedua, kebanyakan pesakit menunjukkan gejala, justeru mudah untuk mengenal pasti serta mengasingkan pesakit bagi tujuan memutuskan rantaian penyakit.

Pengasingan hendaklah dilakukan hingga ruam di tubuh pesakit sembuh.

Ketiga, vaksin juga membantu mencegah jangkitan atau mengurangkan jangkitan serius. Individu berumur lebih 40 tahun telah mendapat vaksin cacar atau smallpox semasa bayi (vaksin ini diberhentikan pada tahun 1980).

Berdasarkan kebarangkalian untuk merebak adalah lebih sukar dan kesan yang teruk termasuk menyebabkan kematian adalah rendah.

Imuniti mereka yang berumur 40 tahun ke atas, diyakini pada ketika ini bahawa penyakit ini tidak akan menjadi satu fenomena pandemik seperti Covid-19 yang menyebabkan kita terpaksa menghentikan banyak aktiviti ekonomi dan sosial.

Namun, perkembangan semasa penyakit cacar monyet ini patut dipantau dan diberi perhatian supaya langkah-langkah pencegahan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Dr. Nurul Azmawati Mohamed ialah pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI