SOFIA, Bulgaria – Seorang remaja berketurunan Belgium-Britain menjadi individu termuda yang melakukan penerbangan solo mengelilingi dunia menggunakan pesawat ringan selepas mendarat di Bulgaria kelmarin.
Ia menjadi lokasi di mana pengembaraannya bermula lima bulan lalu, lapor saluran berita NBC News.
Mack Rutherford, yang berusia 17 tahun semasa perjalanan itu mendarat di landasan sebuah lapangan terbang kecil bandar ibu negara Bulgaria, Sofia, sekali gus menamatkan penerbangannya dan menerima dua sijil pengiktirafan Guinness World Records.
Mack merampas rekod yang dipegang Travis Ludlow dari Britain, remaja yang membuat penerbangan solo ke seluruh dunia tahun lalu ketika berusia 18 tahun.
Penerbangan Mack meliputi jarak sejauh 54,000 kilometer selama 221 jam merentasi 30 buah negara.
Ketika penerbangan, dia terpaksa menghadapi keadaan suhu sehingga 48 darjah Celsius serta menanti selama berjam-jam untuk mendapatkan kebenaran penerbangan.
Dia juga terpaksa membuat pendaratan cemas di sebuah pulau yang tidak berpenghuni, Attu, di barat Alaska disebabkan angin kencang.
“Saya ingin membuktikan bahawa golongan muda juga boleh melakukan perubahan. Anda hanya perlu menjadikan impian satu kenyataan,” katanya.
Remaja yang dilahirkan dalam keluarga juruterbang berjaya mendapatkan lesen juruterbangnya pada 2020. Dia ketika itu menjadi juruterbang termuda di dunia pada usia 15 tahun.
Kakak Mack, Zara, diiktiraf sebagai wanita termuda menamatkan penerbangan mengelilingi dunia secara solo pada Januari lalu ketika berusia 19 tahun. AFP/Agensi