BAITULMUQADDIS – Ketua-ketua bandar Israel di Baitulmuqaddis memaksa rakyat Palestin sama ada merobohkan rumah mereka sendiri atau membayar sekurang-kurangnya AS$25,000 (RM111,900) untuk kontraktor pembandaran melakukan kerja itu, lapor akhbar Arab News semalam.
Mangsa terbaharu ialah Faraj Abu Ramoz yang diarahkan merobohkan rumahnya semalam di kawasan kejiranan Ras-Al-Amoud di Silwan yang merupakan tempat tinggalnya selama tujuh tahun.
Faraj ‘mengaku kalah’ selepas kru perbandaran Baitulmuqaddis dan polis Israel menyerbu rumah keluarganya. Mereka mengancam untuk merobohkannya dan meminta dia membayar untuk kerja-kerja itu.
Aktivis berkata, perobohan adalah sebahagian besar daripada rancangan Israel untuk menghapuskan kehadiran penduduk Palestin dari Baitulmuqaddis Timur.
Rakyat Palestin yang ingin membina rumah menghadapi kos tinggi dan pelbagai karenah birokrasi. Mereka diberi dua pilihan sama ada hilang hak untuk tinggal di bandar mereka sendiri atau membina rumah tanpa permit dan akhirnya diusir.
Lebih 120,000 rakyat Palestin telah meninggalkan Baitulmuqaddis dan kini tinggal di ‘tembok keselamatan’ Israel.
Pengarah kumpulan aktivis Baitulmuqaddis untuk Hal Ekonomi dan Sosial, Zia Hammouri berkata, lebih 20,000 perintah perobohan rumah di bandar itu dibincangkan oleh mahkamah pendudukan haram Israel.
“Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut visi pendudukan dan kelulusannya untuk pelaksanaan,” katanya.
Antara 2004 hingga 2019, Israel merobohkan 968 rumah dan 3,177 orang hilang tempat tinggal termasuk 1,704 kanak-kanak. Angka itu tidak termasuk ‘hukuman’ perobohan rumah milik rakyat Palestin yang dituduh Israel sebagai ‘keganasan’. – Agensi